TAPAH – Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih di sini sejak Sabtu minggu lalu berpotensi rendah diserang haiwan buas selain berisiko tergelincir.
Menurut seorang malim gunung, Muzafar Mohamad, peratusan risiko kedua-dua insiden itu kecil berdasarkan pengalamannya mendaki gunung tersebut sebelum ini.
“Kerana itu, ada kamera pengawasan hidupan liar oleh Perhilitan selain pengalaman dia mendaki Gunung Batu Putih tidak kemungkinan tergelincir.
“Namun, faktor ketahanan mental dan fizikal turut memainkan peranan jadi saya berharap dia dapat melepasi ujian kritikal tersebut selepas lebih seminggu operasi pencarian,” katanya di sini hari ini.
Berhubung ikhtiar hidup Jaslinda, Muzafar berkata, pengalaman lebih 10 tahun dalam ilmu pendakian mungkin memberikan kelebihan kepadanya.
“Beberapa penemuan seperti botol air, jejak dan makanan mungkin memberikan potensi kepada penemuannya.
“Selain itu, menurut maklumat malim gunung lain yang berjumpa dengan pendaki yang hilang selepas tujuh hingga lapan hari tetapi semua ini bergantung kepada keadaaan tertentu yang sukar dijangka,” katanya.
Jaslinda dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.-KOSMO! ONLINE














