SHAH ALAM – Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) antara venue pilihan bagi perasmian Sukan Malaysia (Sukma) Selangor pada Ogos ini.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, pemilihan venue belum dimuktamadkan dan masih dalam proses perbincangan dengan sekretariat Sukma serta agensi terlibat.
Jelasnya, penganjuran temasya sukan itu perlu digunakan dengan kos optimum selaras titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya mengawal kos perbelanjaan.
“Setakat ini, venue perasmian itu mungkin Stadium MBPJ atau dewan-dewan tertutup di Selangor seperti di Pusat Konvensyen MBSA dan Dewan Raja Muda Musa.
“Kita akan melihat juga faktor kesesuaian kerana melibatkan kontinjen negeri-negeri. Kita akan umum selepas dapat keputusan nanti,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Catur Berpasukan Kebangsaan 2026-Piala PMX di sini, petang ini.
Mohd. Najwan, persiapan penganjuran Sukma telah mencapai tahap 90 peratus meliputi logistik dan venue setakat ini.
“Kita kini hanya dalam proses melengkapkan beberapa persiapan kecil. Venue pusat akuatik juga kini sudah 90 peratus siap sebelum diserahkan kepada Darul Ehsan Fasilities Management bagi urusan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














