PETALING JAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan melaksanakan pengeluaran dan gantian MyKad Struktur Baharu secara berfasa selepas pelancaran rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak lama lagi.
JPN dalam satu kenyataan berkata, orang ramai bagaimanapun tidak perlu tergesa-gesa menukar kad pengenalan sedia ada kerana ia masih sah digunakan untuk semua urusan rasmi.
“MyKad sedia ada masih sah untuk urusan rasmi termasuk penebusan subsidi dan bantuan kerajaan.
“Sebagai permulaan, pengeluaran dan gantian MyKad Struktur Baharu akan dilaksanakan secara berfasa di Ibu Pejabat JPN Putrajaya dan 18 pejabat JPN terpilih secara sistem janji temu sebelum diperluaskan ke seluruh negara,” kata.
Menurut JPN, pendekatan secara berfasa dan sistem janji temu itu ditetapkan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan di samping mengelakkan kesesakan di kaunter.
Pada peringkat awal, keutamaan pelaksanaan hanya diberikan kepada pemohon yang membuat janji temu melalui Sistem Janji Temu JPN serta pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan MyKad Versi 1 (Tanpa Ghost-Image).
“Pemegang KPP, KPT dan MyKad Versi 1 diwajibkan untuk menukar kepada MyKad Struktur Baharu secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun,” jelas JPN.
Dalam pada itu, JPN turut memberi jaminan keselamatan data dan maklumat peribadi pemegang MyKad akan terus dilindungi melalui ciri keselamatan serta kawalan perlindungan data yang ditetapkan oleh kerajaan. – KOSMO! ONLINE














