SHAH ALAM – Selangor FC sentiasa mengintai peluang untuk terus mengukuhkan jenama Selangor Red Giants (SRG) Esports termasuk mendedahkan komuniti masa kini dengan minat golongan muda.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, kerjasama dengan salah sebuah media atas talian yang berasaskan sukan elektronik menjadi platform terbaik untuk mengembangkan jenama The Red Giants menerusi SRG Esports.
“Saya rasa untuk SRG memang jenamanya sangat kuat, tetapi bagi kami, sentiasa ada ruang untuk kita tambah baik. Yang lebih penting, kita nak cuba wujudkan satu pemahaman yang lebih baik mengenai e-sukan.
“Saya rasa persepsi mengenai e-sukan itu mungkin bagi sesetengah pihak masih negatif atau kurang baik. Bagi kami ini sangat penting supaya ibu bapa, datuk dan nenek faham apa yang cucu-cucu mereka sedang main dan terdedah.
“Kita nak tunjuk e-sukan ini mengetengahkan nilai-nilai murni, kerjasama, disiplin dan sebagainya. Sama seperti sukan konvensional, e-sukan juga mengetengahkan karakter dan nilai-nilai penting untuk berjaya,” katanya.
Untuk rekod, SRG sebelum ini pernah mengharumkan nama negara apabila muncul juara Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 yang berlangsung di Arab Saudi. – KOSMO! ONLINE














