fbpx
AIDILADHA menjadi saat paling menggembirakan buat golongan fakir dan miskin kerana dapat menikmati daging korban hasil perkongsian masyarakat.

Ibadah korban bukan sekadar acara tahunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IBADAH korban bukan sekadar ritual penyembelihan haiwan sempena Aidiladha, tetapi ia merupakan simbol pengabdian, kesyukuran dan ketaatan seorang hamba kepada Allah SWT.

Syariat korban yang diwarisi daripada kisah pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS mengandungi hikmah yang sangat besar dalam membentuk jiwa manusia, me­nyuburkan nilai kemanusiaan serta memperkukuh kehidupan bermasyarakat.

Peristiwa Nabi Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyembelih anaknya sendiri menjadi lambang ke­taatan yang tertinggi dalam sejarah manusia. Perintah tersebut bukanlah bertujuan menumpahkan darah, tetapi untuk menguji sejauh mana kecintaan seorang hamba kepada Tuhan mengatasi segala bentuk kecintaan lain di dunia ini.

Nabi Ismail AS pula memperlihatkan ketundukan dan kepatuhan yang luar biasa apabila reda menerima perintah tersebut dengan penuh keimanan. Lalu Allah SWT menggantikan penyembelihan itu dengan seekor kibas sebagai tanda rahmat dan kasih sayang-Nya kepada hamba-hamba yang taat.

Daripada peristiwa inilah lahirnya pensyariatan ibadah korban yang dilaksanakan oleh umat Islam setiap kali menjelang Aidil­adha. Ia bukan sekadar amalan tahunan, tetapi suatu madrasah rohani yang mendidik manusia tentang nilai pengorbanan, keikhlasan dan ketakwaan.

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran: Maksudnya:
“Daging dan darah binatang korban itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu.”

Tanda ketakwaan

Ayat ini memberikan kefahaman yang sangat mendalam ­bahawa nilai sebenar ibadah korban bukanlah terletak pada ba­nyaknya haiwan yang disembelih atau mahalnya harga korban tersebut, tetapi pada keikhlasan hati dan ketakwaan orang yang melaksanakannya.

Dalam erti kata lain, korban yang diterima oleh Allah SWT ialah korban yang lahir daripada jiwa yang tunduk, ikhlas dan ­penuh pengabdian kepada-Nya.

Dalam kehidupan moden hari ini, manusia semakin dibelenggu dengan budaya materialistik dan individualistik. Nilai kejayaan sering diukur melalui pemilikan harta, kemewahan dan kedu­dukan.

Dalam suasana sebegini, ibadah korban hadir sebagai latihan spiritual yang mendidik manusia supaya sanggup melepaskan sesuatu yang disayangi demi mencari keredaan Allah SWT.

Hakikat korban mengajar bahawa seorang Muslim tidak boleh terlalu terikat dengan kecintaan terhadap dunia sehingga melupakan tanggungjawab kepada agama dan masyarakat.

Orang yang sanggup mengeluarkan sebahagian hartanya untuk ibadah korban sebenarnya sedang melatih dirinya untuk menjadi insan yang pemurah, bersyukur dan tidak dikuasai oleh sifat bakhil.

Pengorbanan harta dalam ibadah korban juga mendidik jiwa supaya memahami bahawa segala nikmat yang dimiliki hanyalah pinjaman daripada Allah SWT.

Lebih daripada itu, ibadah korban turut membentuk sifat ihsan dan empati terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

Dalam banyak keadaan, Aidiladha menjadi saat yang paling menggembirakan buat golongan fakir dan miskin kerana mereka dapat menikmati daging korban hasil perkongsian masyarakat.

Syariat Islam sangat menitikberatkan aspek kebajikan sosial melalui ibadah korban sehingga pengagihan daging kepada golongan memerlukan menjadi antara tujuan utama pensyariatannya.

Dalam suasana ekonomi yang mencabar hari ini, semangat berkongsi rezeki melalui ibadah korban mempunyai nilai yang amat besar. Ia memperlihatkan bahawa Islam bukan sekadar agama yang menekankan hubu­ngan manusia dengan Tuhan, tetapi juga agama yang membina hubungan kasih sayang sesama manusia.

Masyarakat yang saling membantu dan berkongsi nikmat akan melahirkan suasana kehidupan yang lebih harmoni dan sejahtera.

Selain itu, ibadah korban juga berperanan menghidupkan syiar Islam dalam masyarakat. Apabila takbir Aidiladha bergema, umat Islam berkumpul untuk menunaikan solat sunat Aidiladha dan bersama-sama melaksanakan ibadah korban, ia menggambarkan kekuatan syariat dan kesatuan umat Islam.

Aktiviti gotong-royong dalam proses penyembelihan, melapah dan mengagihkan daging korban pula memperkukuh ukhuwah serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Hakikatnya, banyak nilai murni yang lahir daripada ibadah korban. Kanak-kanak dapat melihat sendiri semangat kerjasama dan pengorbanan dalam masyarakat. Golongan muda pula dididik ­untuk menghargai nilai kebersamaan dan tanggungjawab sosial.

Bahkan masyarakat seluruh­nya dapat merasakan bahawa Aidiladha bukan sekadar perayaan, tetapi medan penyatuan hati dan pengukuhan hubungan sesama insan.

Di samping itu, Islam juga menampilkan keindahan akhlak melalui garis panduan penyembelihan haiwan korban. Syariat menetapkan supaya haiwan dilayan dengan ihsan dan tidak ­iseksa. Pisau hendaklah ditajamkan, haiwan tidak boleh dizalimi atau diperlakukan dengan kasar, bahkan tidak boleh disembelih di hadapan haiwan lain.

Ruang muhasabah

Semua ini membuktikan bahawa Islam adalah agama rahmah yang mengajar umatnya supaya berakhlak baik terhadap seluruh makhluk, termasuk haiwan.

Malangnya, terdapat sebahagian masyarakat yang melihat ibadah korban hanya sebagai adat tahunan tanpa penghayatan terhadap roh dan hikmahnya.

Ada yang terlalu menumpukan kepada aspek luaran seperti jumlah lembu yang dikorbankan atau kemeriahan program, tetapi terlupa bahawa tujuan terbesar korban ialah melahirkan jiwa yang lebih dekat kepada Allah SWT.

Korban yang sebenar bukan hanya menyembelih haiwan, tetapi menyembelih sifat mazmumah dalam diri manusia.

Aidiladha sepatutnya menjadi ruang muhasabah untuk membunuh sifat ego, sombong, tamak, cintakan dunia dan sikap mementingkan diri sendiri. Inilah pengorbanan yang paling besar dan paling sukar dilakukan oleh manusia.

Jika ibadah korban benar-benar dihayati, ia mampu melahirkan masyarakat yang lebih bertakwa, lebih penyayang dan lebih bersatu. Semangat pengorbanan yang diasuh melalui Aidiladha juga mampu membentuk umat Islam yang sanggup berkorban demi agama, masyarakat dan negara.

Sesungguhnya manfaat ibadah korban tidak hanya terhenti pada sembelihan dan pengagihan daging semata-mata, tetapi jauh lebih besar daripada itu. Ia adalah ibadah yang membina jiwa, menyatukan masyarakat dan mendidik manusia tentang makna sebenar kehambaan kepada Allah SWT.

Justeru, Aidiladha sewajarnya dijadikan medan untuk memperbaharui ketakwaan, memperkukuh persaudaraan dan menghidupkan kembali semangat pengorbanan dalam kehidupan umat Islam hari ini.

PROF. MADYA DATUK DR. MOHD. SUKKI OTHMAN merupakan Mufti Negeri Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN