fbpx
PUTRI Qisya bersama neneknya, Nazirah ketika ditemui pada program korban Pemuda UMNO Bahagian Jerlun di Kampung Padang Telok di Jerlun hari ini.

‘Qisya rindukan keletah adik, daging masak hitam ibu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERLUN – “Setiap kali raya, Qisya pasti teringat dan rindukan suasana meriah bersama arwah umi, walid dan empat adik. Qisya rindukan keletah mereka serta masakan istimewa umi.”

Demikian luah Putri Qisya Nur Izzat, 13, yang kehilangan ibu bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat adiknya selepas kereta dinaiki terjunam ke Sungai Korok dekat sini pada Julai tahun lalu.

Menurutnya, dia masih terkenangkan suasana meriah Aidiladha bersama adik-adik serta juadah nasi beriani dan daging masak hitam air tangan arwah ibunya.

“Semua itu hanya tinggal kenangan, namun suasana raya Qisya tidak sunyi kerana Qisya masih ada keluarga tok (nenek) sebelah umi dan walid.

“Semalam Qisya ziarah kubur umi, walid dan adik-adik. Qisya doa semoga kubur mereka dilapangkan dan dipermudahkan masuk syurga,” katanya selepas program korban Pemuda UMNO Bahagian Jerlun di Kampung Padang Telok di sini hari ini.

Katanya, bukan mudah melupakan tragedi yang meragut nyawa ibu bapa serta empat adiknya iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar yang baru berusia enam bulan.

“Mereka hilang pada 5 Julai tahun lalu sebelum ditemukan (lemas) di dalam kereta di Sungai Korok dua hari kemudian. Kenangan itu tak boleh lupa sebab itulah pengalaman paling pahit dalam hidup Qisya.

“Tapi Qisya percaya semua yang berlaku ada hikmah. Mungkin kami berpisah di sini tetapi di akhirat nanti Qisya dapat jumpa mereka balik,” katanya.

Qisya berkata, dia kini memberi tumpuan kepada pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kubang Pasu demi mengejar cita-cita menjadi juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Kalau cuti, Qisya balik rumah tok. Qisya ada sepupu kecil macam arwah adik-adik, jadi merekalah tempat Qisya bergurau dan bermain. Qisya rapat dengan keluarga sebelah umi dan walid sebab Qisya dah rasa kehilangan itu, jadi Qisya nak hargai masa bersama mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Qisya turut menzahirkan penghargaan kepada Pemuda UMNO Bahagian Jerlun yang menyumbangkan satu bahagian korban lembu kepadanya sempena Aidiladha tahun ini.

Sementara itu, nenek Qisya, Nazirah Ismail, 67, berkata, dia baru bermimpikan arwah anaknya, Mohamad Azim memakai jubah putih sambil tersenyum dan melambai tangan.

“Mungkin sebab saya terlalu rindukan arwah selepas seorang lagi anak saya meninggal dunia akibat kanser darah bulan lalu. Arwah cucu-cucu pun saya pernah mimpi bulan lepas. Mereka cuma melambai tanpa berkata apa-apa,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerlun, Nazri Arshat berkata, pihaknya memberikan satu bahagian korban kepada Qisya yang juga anak angkat pergerakan itu bagi membolehkan remaja berkenaan merasai kegembiraan Aidiladha serta menghayati erti pengorbanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN