KEMAMAN – Program pemuliharaan tuntung di Sungai Kemaman berhampiran Kampung Pasir Gajah di sini semakin menunjukkan hasilnya apabila 1,673 telur haiwan reptilia terbabit berjaya ditemukan sepanjang musim mengawannya pada bulan Februari dan Mac lalu.
Pengasas Bersama Persatuan Pemuliharaan Tuntung Malaysia (TCS), Dr. Chen Pelf Nyok berkata, sebanyak 1,222 biji daripada keseluruhan telur terbabit berjaya ditetaskan setakat ini.
“Kadar kejayaan penetasan telur tuntung setakat ini amat memberangsangkan iaitu kira-kira 73.04 peratus.
“Proses peneraman spesies reptilia terancam tersebut biasanya mengambil masa antara 70 hingga 90 hari,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai, di Kampung Pasir Gajah di sini hari ini.
Pelf Nyok berkata, sebelum itu, kesemua telur tuntung yang dijumpai di sepanjang tebing Sungai Kemaman akan dibawa ke Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai Kampung Pasir Gajah bagi tujuan pengeraman terbabit.
Pengarah Eksekutif TCS itu berkata, langkah tersebut juga bertujuan menyelamatkan telur tuntung terbabit daripada dicuri pihak tidak bertanggungjawab atau dimakan haiwan pemangsa lain.
“Sebaik menetas, setiap anak tuntung akan akan dipasang mikrocip bagi penandaan identiti dan data biologi sebelum dilepaskan ke habitat asal mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE














