PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata amalan membaca mampu membentuk masyarakat yang lebih matang dan berfikiran luas dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata buku bukan sahaja menjadi sumber ilmu, malah mendidik masyarakat supaya lebih sabar berfikir dan bijaksana dalam membuat penilaian.
“Buku mengajar kita untuk lebih sabar berfikir, lebih matang menilai dan tidak mudah tenggelam dalam budaya menghukum atau sensasi yang singkat usianya.
“Insya-Allah, esok saya akan meluncurkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 sebagai tanda dukungan berterusan terhadap budaya ilmu dan pembacaan dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda,” tulis beliau.
Anwar berkata, beliau mengambil kesempatan cuti Aidiladha untuk membelek beberapa buku kegemaran daripada pelbagai bidang termasuk sastera, sambil mencari ruang untuk terus belajar dan merenung perjalanan zaman yang semakin mencabar.
Dalam video yang dimuat naik, beliau turut membaca beberapa puisi yang dirangka khas berkaitan dengan perjuangan beliau serta isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam era Reformasi.
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 dijadual berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun ini di World Trade Centre Kuala Lumpur dengan pelbagai pengisian berkaitan dunia buku, sastera dan pendidikan. – KOSMO! ONLINE














