PETALING JAYA – MMW Bone Alignment Centre (MMW) telah melancarkan cawangan keduanya di pusat beli-belah Atria Shopping Gallery sebagai usaha untuk meluaskan rangkaian dan menawarkan perkhidmatan lebih luas kepada pelanggan.
Outlet kedua ini juga akan dijadikan sebagai platform pendidikan dan rawatan penjagaan struktur tubuh secara holistik kepada komuniti setempat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan bersempena majlis pelancaran outlet terbaharu itu, pembukaan tersebut adalah detik penting buat syarikat dalam memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah masa kini.
Pemilihan lokasi ini juga dianggap strategik kerana ia adalah pusat gaya hidup moden yang selesa, mesra komuniti dan mudah diakses orang ramai.
“Kami percaya tahap kesihatan yang baik bukan sekadar meredakan kesakitan, tetapi memahami keseimbangan tubuh secara menyeluruh.

“Banyak masalah kesihatan berpunca daripada ketidakseimbangan struktur tubuh, postur dan pergerakan harian yang sering diabaikan,” katanya.
Selain itu bersempena pelancaran outlet baharu itu, MMW memperkenalkan pendekatan unik melalui kaedah rawatan Wu Yi Zheng Gu yang menggabungkan disiplin seni mempertahankan diri, pemahaman mendalam tentang struktur tubuh serta teknik penjagaan tradisional.
Konsep ini bukan sekadar rawatan jangka pendek, tetapi budaya disiplin dan keseimbangan kesihatan jangka panjang bagi membantu masyarakat memahami punca sebenar masalah tubuh mereka.
“Kami berharap lebih ramai mula memberi perhatian terhadap kesihatan tubuh masing-masing sejak awal lagi, ini akan membolehkan isu kecil berkaitan tahap kesihatan tidak berkembang menjadi beban kesihatan yang lebih serius pada masa depan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














