PETALING JAYA – Ketika ramai rakyat tempatan pulang menyambut Aidiladha di kampung halaman, suasana berbeza dapat dilihat di Masjid Asy-Syakirin Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) apabila rumah ibadah itu dibanjiri warga asing yang hadir menunaikan solat sunat Aidiladha, pagi tadi.
Perkongsian pengguna Threads dikenali sebagai @Zaerazran mengenai suasana di masjid berkenaan turut mencuri perhatian ramai apabila memaparkan kehadiran jemaah daripada pelbagai negara dan latar belakang memenuhi ruang solat sejak awal pagi.
@Zaerazran secara berseloroh menggambarkan suasana itu dengan kehadiran warga ‘bluetooth fon telinga’, ‘warga minyak wangi siram penuh jubah’ serta kelompok yang sentiasa mengingati tuhan dalam apa juga keadaan termasuk berswafoto.
Hantaran tersebut bagaimanapun menerima reaksi positif netizen yang melihatnya sebagai simbol keharmonian dan keterbukaan masjid di Malaysia kepada umat Islam dari seluruh dunia.
“Alhamdulillah, berkatnya bumi Malaysia. Masjid-masjid di sini tak pernah sepi. Mesti warga asing rasa beruntung dapat solat di masjid yang bersih, cantik dan tiada siapa menghalang,” kata @Napieleon.
“Suka tengok gambar ini. Ramai orang Islam pelbagai bangsa datang berhimpun,” tulis @Mrsdreamheart.
“Masjid Negara pun sama, rasa macam kat timur tengah,” komen @Syarifput.ra. – KOSMO! ONLINE














