fbpx
Lebuh Raya WCE. - GAMBAR HIASAN

Lebih 150,000 kenderaan sehari dijangka guna WCE sempena Aidiladha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lebih 150,000 kenderaan sehari dijangka menggunakan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidiladha yang turut bertembung dengan cuti persekolahan dan serta hujung minggu panjang.

West Coast Expressway Sdn. Bhd. (WCESB) dalam satu kenyataan memaklumkan, peningkatan aliran trafik itu dijangka berlaku susulan pergerakan orang ramai pulang ke kampung serta bercuti sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut kenyataan itu, beberapa langkah kesiapsiagaan akan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran trafik termasuk menangguhkan semua kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong kecuali kerja kecemasan.

“Selain itu, jentera bantuan seperti trak tunda akan ditempatkan di lokasi strategik sepanjang jajaran lebuh raya.

“Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) serta petugas peronda juga diperkukuh bagi memastikan bantuan dapat diberikan secara pantas dan berterusan 24 jam sehari,” katanya.

Dalam pada itu, pengguna turut disaran memanfaatkan aplikasi mudah alih WCE yang menyediakan navigasi laluan, maklumat kemudahan, bantuan kecerdasan buatan (AI) serta maklumat trafik masa nyata.

“Di samping kemudahan digital, Lebuh Raya WCE turut menyediakan infrastruktur fizikal
yang selesa untuk para pengguna termasuk enam Hentian Rehat dan Rawat (R&R) yang dilengkapi dengan kemudahan asas seperti kawasan parkir, surau dan tandas.

“Kemudahan gerai makanan turut disediakan di beberapa lokasi terpilih iaitu di R&R Sungai Nyior (arah utara dan selatan) serta R&R Bukit Kapar (arah utara). Selain itu, Hentian Sebelah dengan kemudahan asas turut disediakan di setiap plaza tol,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan WCE, Lyndon Alfred Felix berkata, pengguna jalan raya perlu sentiasa berwaspada dan merancang perjalanan lebih awal sepanjang tempoh trafik tinggi itu.

“Dalam tempoh pergerakan trafik yang tinggi ini, kami menasihatkan semua pengguna agar merancang perjalanan lebih awal dan mengutamakan aspek keselamatan pada setiap masa.

“Dengan sokongan kemudahan digital dan kesiapsiagaan operasi, WCE komited untuk memastikan pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan efisien,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengguna supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mematuhi had laju, memastikan baki Touch ‘n Go mencukupi serta mendapatkan rehat secukupnya bagi mengelakkan risiko microsleep ketika memandu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN