PETALING JAYA – AEON Bank (M) Berhad (AEON Bank) mengumumkan pelantikan Mohammad Ridzuan Abdul Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa Khamis lalu.
Sebelum pelantikan tersebut, Ridzuan telah berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AEON Bank dari Februari 2023 hingga Februari 2026.
Bermula 1 April 2026, beliau kemudiannya dilantik sebagai Pegawai Penjaga (Officer-in-Charge) AEON Bank.
Sejak fasa pra-PKO (Penilaian Kesiapsiagaan Operasi / Operational Readiness Review) dan pra-pelancaran bank tersebut sehingga kini, Ridzuan telah memainkan peranan instrumental dalam perjalanan pembangunan perbankan digital AEON Bank.
Menurut kenyataan, Lembaga Pengarah AEON Bank menzahirkan keyakinan terhadap daya kepimpinan perniagaan dan keupayaan strategik Ridzuan dalam menerajui AEON Bank berlandaskan latar belakang beliau yang meluas, antaranya adalah dalam bidang kewangan korporat, pematuhan kawal selia, tadbir urus risiko, keselamatan siber serta rangka kerja kawal selia teknologi kewangan.
“Berteraskan kemantapan visi Ridzuan terhadap masa depan perbankan digital, beliau diyakini
mampu menerajui fasa pertumbuhan AEON Bank yang seterusnya, sekali gus memangkin
komitmen bank untuk menyediakan penyelesaian kewangan yang mudah diakses, serta
memupuk masa depan kewangan yang lebih inklusif untuk semua.
“AEON Bank akan terus memainkan peranan aktif dalam mendorong pembangunan ekonomi digital negara serta industri fintech di rantau ini,” katanya.
Selain itu, pihak Lembaga Pengarah juga merakamkan penghargaan kepada mantan Ketua
Pegawai Eksekutif AEON Bank, Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz, atas kepimpinan beliau sepanjang fasa asas dua tahun pertama AEON Bank serta peranan beliau dalam melancarkan dan membangunkan AEON Bank sebagai bank digital patuh Syariah pertama di Malaysia.-KOSMO! ONLINE














