fbpx
Hussein ketika bercakap pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

Tumpas ‘Geng RT’, 12 lelaki dicekup bawah SOSMA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai ‘Geng RT’ menerusi operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di sekitar Lembah Klang, April lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak tahun 2020 dan terlibat dalam aktiviti pemprosesan serta pengedaran pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, heroin, ganja dan ephedrine di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau berkata, JSJN telah menjalankan tindakan agresif terhadap kumpulan jenayah terancang itu sejak Disember 2025.

“Pada 27 April lalu, JSJN melancarkan operasi dan berjaya menahan 12 lelaki tempatan di sekitar Lembah Klang yang diambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Dalam operasi sama, polis turut menahan seorang ahli sindiket di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bersama rampasan dadah jenis ganja seberat 8.5 kilogram,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Hussein, hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Katanya, 12 suspek berkenaan direman selama 28 hari dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

“Seorang lagi suspek pula telah didakwa di Mahkamah Majistret Ampang pada 8 Mei lalu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Beliau berkata, JSJN kini masih giat mengesan saki-baki ahli sindiket yang dipercayai masih berada dalam negara.

“Pendekatan ini adalah komitmen berterusan JSJN dalam memastikan rangkaian sindiket pengedaran dadah dapat dilumpuhkan sepenuhnya kerana dadah adalah musuh nombor satu negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN