PETALING JAYA – OCBC Bank (Malaysia) Berhad, bersama OCBC Al-Amin Bank Berhad (OCBC Malaysia),
mengumumkan sokongan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat konflik di Timur Tengah.
Sokongan ini akan disediakan menerusi dana yang diperuntukkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) di bawah Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) bernilai RM5 bilion.
Kemudahan tersebut menyediakan bantuan kewangan dan modal kerja tepat pada masanya kepada PKS yang
berdaya maju untuk membantu mereka menangani cabaran operasi dan
memenuhi keperluan aliran tunai jangka pendek.
Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Malaysia, Tan Chor Sen berkata, dalam usaha menyokong pelanggan PKS, pihaknya menyediakan Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS lebih pantas untuk memastikan syarikat-syarikat memerlukan boleh mendapatkan dana secepat mungkin.
“Kemudahan ini menyokong rangkaian program kami yang sedia ada bagi para pelanggan PKS dan
kami akan terus berhubung rapat dengan mereka untuk lebih memahami keperluan mereka yang sentiasa berubah di samping menyediakan sokongan praktikal sambil mereka mengharungi cabaran semasa,” katanya dalam kenyataan.
Di bawah SME SRF, PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM750,000 pada kadar sehingga 3.75 peratus setahun, termasuk yuran jaminan, dengan tempoh sehingga lima tahun.
Kemudahan tersebut disokong oleh perlindungan jaminan sehingga 80 peratus daripada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP). -KOSMO! ONLINE














