KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King menepati ramalan apabila mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 selepas menewaskan pasangan Amerika Syarikat (AS), Chen Zhi Yi-Presley Smith di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Turun selaku pilihan kelima kejohanan, Arif-Roy King yang kini menghuni ranking ke-16 dunia mempamerkan aksi meyakinkan untuk melakar kemenangan straight set 21-15, 21-19 dalam tempoh 32 minit.
Pada set pertama, Arif-Roy King tampil cukup agresif dan menguasai rentak permainan sejak awal sebelum hanya mengambil masa 13 minit untuk menutup kemenangan 21-15.
Bagaimanapun, set kedua menyaksikan tentangan lebih sengit daripada pasangan AS apabila Arif-Roy King ketinggalan 7-11 susulan beberapa kesilapan mudah selain lawan mula menemui rentak lebih kemas.

Meskipun berada di belakang 14-16, pasangan negara enggan mengalah apabila berjaya merapatkan jurang menerusi mata berturut-turut untuk mengikat kedudukan 16-16.
Pertarungan terus berlangsung sengit dengan kedua-dua pasangan saling mengejar mata sebelum Arif-Roy King kembali mendahului perlawanan dengan keputusan 19-17.
Chen-Presley sekali lagi memberi tekanan apabila berjaya menyamakan kedudukan 19-19, namun ketenangan dimiliki beregu negara pada penghujung permainan membolehkan mereka mengutip dua mata terakhir untuk menoktahkan kemenangan 21-19.
Kemenangan itu juga membolehkan wakil negara mengekalkan rekod bersih 3-0 sepanjang pertemuan mereka dengan gandingan dari AS tersebut.
Menanti mereka di separuh akhir nanti sama ada pilihan keenam dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard atau pilihan kedua dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi. -KOSMO! ONLINE







