PERNAHKAH anda mengalami situasi gigi anda terasa tiba-tiba bergoyang?
Jika jawapannya ‘ya’, anda mungkin sedang menghidap penyakit gusi yang serius.
Mungkin ramai antara kita tertanya-tanya punca gigi yang selama ini kuat dan kukuh secara pantas boleh bertukar menjadi sedemikian rupa.
Adakah disebabkan faktor umur semata-mata atau sebaliknya?
Secara amnya, gigi kita dipegang dan disokong oleh struktur-struktur penting seperti tulang alveolar, ligamen periodontal, dan gusi.
Jika struktur ini terjaga dengan baik, gigi akan sentiasa sihat dan tidak bergoyang.
Namun, harus kita sedari gigi kita sentiasa terdedah kepada ancaman buruk jika tidak dijaga dengan betul, khususnya daripada plak dan bakteria.
Untuk makluman, plak merupakan lapisan nipis, lembut dan melekit yang sentiasa terbentuk di permukaan gigi.
Komposisi utama plak adalah bakteria semula jadi yang tidak berbahaya kepada manusia.
Kebiasaannya, apabila anda memberus, plak bakteria ini akan dapat dihilangkan dengan mudah.
Namun, jika kebersihan mulut diabaikan atau teknik memberus salah diamalkan, plak bakteria yang asalnya ‘mesra’ akan menebal dan menarik kehadiran bakteria lebih agresif.
Kehadiran bakteria ini bakal menceroboh sistem imun, lalu mencetuskan ‘pertempuran’ hebat antara penceroboh tersebut dengan benteng pertahanan badan kita.
Kesannya, gusi akan mula membengkak serta berdarah, malah dalam sesetengah kes boleh bernanah.
Pada ketika ini, pesakit telah dikatakan mempunyai masalah keradangan gusi ataupun dalam bahasa saintifiknya ‘gingivitis’.

Pada tahap ini, pesakit mempunyai dua pilihan iaitu membiarkan saja dan menganggap ia perkara biasa atau segera ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
Jika pesakit memilih untuk membiarkannya sahaja, penyakit pada awalnya hanya merosakkan gusi akan mula merosakkan tulang dan ligamen periodontal yang memegang gigi.
Pada tahap ini, pesakit dikatakan sudah menghidap penyakit periodontitis (kerosakan kepada struktur tulang gigi).
Apabila ligamen periodontal telah rosak dan tulang sudah menyurut, gigi akan mula bergoyang sedikit demi sedikit sehingga tiada tulang lagi yang mampu memegangnya, sekali gus menyebabkan perlu dicabut.
Ingatlah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
Beberapa langkah boleh diambil untuk mengatasi masalah ini.
Antaranya meningkatkan ilmu pengetahuan berkaitan penyakit gusi melalui pembacaan dan mengikuti ceramah yang berkaitan.
Pastikan anda mengenal pasti tanda-tanda awal bermulanya penyakit gusi seperti gusi kemerahan, senang berdarah, gusi bernanah dan mulut berbau.
Lakukan pemeriksaan berkala dan segera dapatkan rawatan jika tanda-tanda di atas telah muncul.
Elakkan daripada tabiat yang boleh memburukkan keadaan gusi anda.
Paling penting, amalkan gaya hidup sihat dan jaga pemakanan agar terhindar daripada penyakit kronik seperti kencing manis yang sudah terbukti mempunyai hubungan rapat dengan penyakit gusi.
Konklusinya, masalah gigi bergoyang bukanlah perkara yang harus dipandang ringan.
Ia merupakan petanda kepada masalah gusi yang lebih serius. Ingatlah, mencegah lebih baik daripada merawat.















