fbpx
PARA penyokong Arsenal membanjiri Stadium Emirates meraikan kejayaan mereka menjulang gelaran EPL selepas City terikat menentang Bournemouth awal pagi semalam. - AFP

EPL: Arsenal dinobat juara baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Arsenal akhirnya menamatkan penantian 22 tahun untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika saingan berbaki satu perlawanan selepas Manchester City sekadar seri 1-1 bertemu Bournemouth awal pagi semalam.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Mikel Arteta itu memiliki kelebihan empat mata selepas mengutip 82 mata dan tidak perlu bekerja keras pada aksi terakhir menentang Crystal Palace di Stadium Selhurst Park, Ahad ini.

Kegagalan City menewaskan The Cherries mencetuskan sambutan luar biasa dalam kalangan penyokong Arsenal di perkarangan Stadium Emirates yang akhirnya dapat meraikan kejuaraan pertama sejak 2004 ketika era ‘Invincibles’ di bawah kendalian Arsene Wenger.

Ia juga merupakan gelaran liga utama ke-14 buat Arsenal, sekali gus meletakkan mereka di belakang Manchester United dan Liverpool sebagai kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak England.

Lebih manis, Arteta kini menjadi bekas pemain EPL pertama yang berjaya memenangi kejuaraan liga sebagai pengurus pasukan dalam sejarah.

Malah, ia juga menamatkan noktah selepas Arsenal dikritik hebat tiga musim berturut-turut dikecewakan dalam perebutan takhta liga apabila menamatkan saingan di kedudukan No. 2.

Legenda Arsenal, Thierry Henry mengakui pasukan itu layak dihormati kerana berjaya mengubah mentaliti dan karakter mereka.

“Sebelum ini, Arsenal selalu dituduh terlalu lemah, tidak mampu mempertahankan kelebihan jaringan dan mudah dibuli. Persoalannya sebelum ini, bolehkah Arsenal menang dengan cara ‘kotor’?

“Tetapi sekarang mereka bukan sahaja boleh melakukannya, malah sudah menguasainya. Selepas 22 tahun, tidak kira bagaimana cara mereka menang, semua perlu menghormatinya,” katanya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN