PETALING JAYA – Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang beradu dengan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri (SSI) pada 11 Ogos depan.
Chelsea yang bakal memulakan era baharu di bawah pengurus terkenal Sepanyol, Xabi Alonso, memilih Johor sebagai destinasi terakhir jelajah pramusim menjelang kempen musim 2026/27.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia dalam satu kenyataan berkata, kehadiran Chelsea sebagai satu pengiktirafan besar terhadap skuad Harimau Selatan di pentas Asia.
“Perlawanan ini bukan sahaja menjadi satu pencapaian penting buat kelab kami, malah mencerminkan peningkatan kedudukan JDT dalam arena bola sepak Asia.
“Stadium Sultan Ibrahim merupakan kubu kami dan pada Ogos nanti, akan menjadi pentas kepada satu malam yang pasti sukar dilupakan. Kami menantikan perlawanan ini dan berharap akan menjadi permulaan kepada lebih banyak perlawanan berprofil tinggi pada masa hadapan.
“Chelsea bukan sahaja akan menikmati layanan mesra JDT serta kemudahan bertaraf dunia yang kami miliki, malah berpeluang menikmati keindahan negeri Johor,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Operasi Chelsea, Pete Nuttall berkata, pihaknya teruja untuk kembali beraksi di Malaysia selepas kali terakhir turun menentang pasukan pilihan Malaysia pada tahun 2013.
“Sukan bola sepak mempunyai kelompok penyokong yang amat bersemangat di rantau ini dan merupakan peluang terbaik untuk penyokong kami di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara menyaksikan pasukan beraksi sekali lagi menjelang musim baharu,” katanya.
Tiket perlawanan akan dijual bermula esok dengan harga serendah RM154 hingga RM1,254 di laman tickethotline.com.my. – KOSMO! ONLINE














