SHAH ALAM – Bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memperoleh hak penjagaan terhadap anak keduanya tanpa syarat dan bon selepas Mahkamah Tinggi di sini, mengetepikan perintah ditetapkan Mahkamah Majistret sebelum ini.
Keputusan itu dibuat Hakim Suriyati Hasimah Mohd. Hashim yang membenarkan rayuan dikemukakan Zaim Ikhwan Zahari, 31, berhubung perintah terdahulu bagi membolehkan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu kembali ke pangkuan keluarga.
Suriyati dalam penghakimannya berkata, mahkamah telah memperhalusi hujahan lisan kedua-dua pihak dan semua dokumen yang difailkan sebelum ini.
“Jika pihak responden tidak berpuas hati, rayuan boleh dikemukakan kepada mahkamah ini yang akan menyediakan alasan penghakiman terhadap rayuan itu,” katanya.
Prosiding itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aida Mat Rifin sebagai responden manakala perayu diwakili peguam Lavanesh Haresh Mahadevan.
Pada 2 Disember tahun lalu, Zaim Ikhwan memfailkan rayuan bagi membatalkan sebahagian keputusan Mahkamah Majistret di sini, yang memerintahkannya memenuhi 14 syarat beserta bon.
Selepas 18 bulan adik kepada Zayn Rayyan dijaga oleh nenek saudara termasuk pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mahkamah itu membenarkan kanak-kanak berkenaan dipulangkan ke pangkuan bapanya. – KOSMO! ONLINE














