KUALA LANGAT – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum dilanggar lori di Kilometer (KM) 6 Jalan Banting – Dengkil di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang dengan mangsa berusia 60-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian badan.
Insiden tersebut turut tular menerusi rakaman video kamera papan pemuka berdurasi 32 saat yang memaparkan detik kemalangan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati penunggang motosikal itu dalam perjalanan ke pekan Banting dari Olak Lempit.
Katanya, setiba di lokasi kejadian dipercayai motosikal tersebut lorong kana kanan hilang kawalan dan terbabas ke lorong tengah.
“Sebuah lori tidak sempat lelaki tempatan berusia 50-an tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian hadapan motosikal mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa telah terjatuh di pemukaan jalan di lorong tengah dan cedera di bahagian badan serta disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau menambah, semakan mendapati penunggang motosikal dan pemandu lori itu mempunyai lesen memandu yang sah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Mazrol Din di talian 011-18539115 atau 03-31872222. – KOSMO! ONLINE














