PETALING JAYA – Peluang dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan terus diperkasakan menerusi Inisiatif Anjung Sinar yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peluasan bidang TVET itu selari dengan keperluan semasa industri serta komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan golongan rentan.
Menurut beliau, pendekatan TVET dan latihan kemahiran merupakan antara elemen penting dalam membantu peserta program Anjung Sinar, terutama anak-anak lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), agar mampu melangkah ke alam dewasa dengan masa depan lebih terjamin dan berdikari.
“Pendekatan TVET dan latihan kemahiran merupakan antara elemen penting dalam membantu peserta program Anjung Sinar, khususnya anak-anak lepasan institusi JKM, agar mereka dapat melangkah ke alam dewasa dengan masa depan yang lebih terjamin serta mampu berdikari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Apresiasi Anjung Sinar 2026 sempena Program Boot Camp Transisi Dinamik Anjung Sinar 2026 di Panggung Percubaan Universiti Putra Malaysia malam tadi.
Nancy berkata, kerjasama erat dengan sektor swasta dan pemain industri amat penting bagi membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak terbabit meneroka bidang TVET yang kini semakin mendapat permintaan.
Katanya, menerusi kerjasama strategik bersama institusi latihan, pihak industri dan sektor korporat, peserta dapat diberikan sokongan termasuk akses kepada pelbagai latihan kemahiran, peluang latihan industri dan penempatan pekerjaan.
Antara bidang kemahiran yang diperkenalkan menerusi Program Anjung Sinar sebelum ini termasuk latihan gunting rambut dan kulinari barista hasil kerjasama dengan Kolej Komuniti Selayang.
Pada majlis sama, seramai 22 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dalam kalangan anak-anak institusi JKM turut diraikan sebagai penghargaan atas pencapaian akademik mereka.
Sejak diperkenalkan pada 2023, program Anjung Sinar kini memasuki siri pelaksanaan keempat dengan penglibatan seramai 1,058 peserta daripada 21 institusi JKM di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE














