fbpx
PEMBANGUNAN industri peranti perubatan tempatan menjadi semakin penting kerana bukan sekadar melibatkan aktiviti ekonomi tetapi juga soal kesiapsiagaan negara dalam menjaga kesihatan rakyat.

Dunia bergolak, masa terbaik perkukuh industri peranti perubatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM suasana dunia yang semakin tidak menentu, sektor peranti perubatan muncul sebagai salah satu industri strategik yang tidak boleh dipandang ringan.

Konflik geopolitik, ketegangan perdagangan, kenaikan harga tenaga dan gangguan logistik global memberi kesan langsung kepada sistem kesihatan sesebuah negara.

Dalam keadaan ini, pembangunan industri peranti perubatan tempatan menjadi semakin penting kerana bukan sekadar melibatkan aktiviti ekonomi tetapi juga soal kesiapsiagaan negara dalam menjaga kesihatan rakyat.

Menurut pensyarah kanan di program Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan dan Timbalan Dekan (Akademik dan Penyelidikan), Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi

Elektronik di Universiti Malaysia Perlis, Prof. Madya Ir. Ts. Nashrul Fazli Mohd Nasir, peranti perubatan merangkumi pelbagai produk yang digunakan dalam rawatan, diagnosis dan pemantauan kesihatan dari sarung tangan, picagari, kateter dan tiub perubatan hinggalah kepada mesin pengimejan, alat bantuan pernafasan serta sistem pemantauan digital.

“Kebergantungan kepada import bagi komponen dan bahan mentah utama menjadikan sektor ini sangat terdedah kepada perubahan global.

“Apabila berlaku konflik antarabangsa atau sekatan perdagangan, bekalan boleh terganggu dan akhirnya memberi kesan kepada hospital, klinik dan pesakit,” katanya kepada K-Tekno baru-baru ini.

Tambahnya, Malaysia sebenarnya mempunyai kelebihan dalam industri ini. Negara telah lama dikenali sebagai pengeluar utama produk berasaskan getah, khususnya sarung tangan perubatan yang digunakan di seluruh dunia.

Pengalaman luas dalam sektor pembuatan, kawalan kualiti dan eksport menjadi asas kukuh untuk negara berkembang ke arah pengeluaran peranti perubatan yang lebih kompleks.

Ini termasuk alat diagnostik moden, mesin rawatan, sistem pemantauan pesakit dan peranti digital yang kini menjadi komponen utama penjagaan kesihatan moden.

Katanya lagi, salah satu cabaran utama industri ini ialah kebergantungan kepada rantaian bekalan antarabangsa.

“Banyak komponen seperti cip elektronik, penderia, modul kuasa dan bahan polimer khas dihasilkan di negara berbeza sebelum dipasang di kilang tempatan.

“Sebarang gangguan di satu negara boleh menjejaskan keseluruhan proses pengeluaran. Dalam konteks peranti perubatan, kelewatan ini boleh memberi kesan besar kerana produk berkenaan diperlukan secara berterusan di pusat kesihatan,” ujarnya.

Isu kenaikan harga bahan mentah turut memberi tekanan. Resin plastik gred perubatan misalnya, merupakan komponen penting dalam pembuatan pelbagai peranti seperti alat suntikan, tiub, bekas sampel dan komponen diagnostik.

Apabila harga resin meningkat, kos pengeluaran turut melonjak. Keadaan ini menjejaskan syarikat tempatan yang perlu menanggung kos tambahan, sekali gus menyebabkan harga produk akhir menjadi lebih mahal.

Beban ini akhirnya boleh memberi kesan kepada institusi kesihatan dan pengguna.

Bagi menghadapi cabaran tersebut, Presiden Persatuan Pengilang-pengilang Peranti Perubatan Malaysia (PERANTIM), Johari Abu Kasim menjelaskan, industri tempatan perlu bergerak ke arah pengeluaran bahan mentah sendiri.

“Penghasilan resin gred perubatan secara tempatan boleh menjadi langkah strategik untuk mengurangkan pergantungan kepada pembekal luar.

“Walaupun ia memerlukan pelaburan besar, langkah ini penting bagi memastikan bekalan terus stabil ketika berlaku gangguan global,” kongsinya.

KERJASAMA antara industri, universiti dan hospital penting kerana pengguna akhir peranti ini ialah petugas kesihatan yang memahami keperluan sebenar di lapangan.

Ujarnya lagi, dalam masa yang sama, universiti dan pusat penyelidikan perlu memainkan peranan lebih aktif dalam membangunkan bahan alternatif yang sesuai digunakan dalam pengeluaran peranti.

Selain pembuatan asas, masa depan industri ini banyak dipacu oleh teknologi tinggi. Kini, peranti perubatan bukan lagi sekadar alat mekanikal. Ia semakin diintegrasikan dengan sistem digital seperti kecerdasan buatan, analitik data dan sambungan internet.

Teknologi seperti Internet of Medical Things membolehkan alat kesihatan berhubung terus dengan sistem hospital, merekod data pesakit secara masa nyata dan membantu doktor membuat keputusan lebih cepat.

Contohnya, alat pemantauan tekanan darah atau degupan jantung kini boleh menghantar data terus ke aplikasi mudah alih atau pusat kesihatan.

Dalam rawatan kronik seperti diabetes atau penyakit jantung, teknologi sebegini membantu pemantauan berterusan tanpa pesakit perlu sentiasa hadir ke hospital.

Keupayaan menghasilkan teknologi ini secara tempatan akan memberi nilai tambah yang besar kepada negara, bukan sahaja dari sudut ekonomi tetapi juga keupayaan membina sistem kesihatan yang lebih cekap.

“Penyelidikan dan pembangunan juga perlu dipertingkatkan. Syarikat tempatan tidak boleh hanya bergantung kepada pemasangan produk sedia ada. Mereka perlu terlibat dalam reka bentuk, ujian dan inovasi peranti baharu.

“Ini termasuk pembangunan sensor pintar, sistem diagnostik mudah alih serta peralatan pembedahan yang lebih efisien,” tambah Johari

Tegasnya lagi, kerjasama antara industri, universiti dan hospital penting kerana pengguna akhir peranti ini ialah petugas kesihatan yang memahami keperluan sebenar di lapangan.

Dalam konteks serantau, Malaysia juga berpotensi menjadi hab peranti perubatan ASEAN. Kedudukan strategik, infrastruktur perindustrian yang matang dan pengalaman eksport memberi kelebihan kepada negara untuk menjadi pusat pengeluaran dan pembangunan teknologi kesihatan.

Dengan sokongan dasar kerajaan, pelaburan dan insentif inovasi, syarikat tempatan mampu menembusi pasaran baharu termasuk Asia Pasifik, Timur Tengah dan Amerika Selatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN