PETALING JAYA – Nafas Bajakimia Sdn Bhd (NBKSB) bukan sekadar pembekal input pertanian, tetapi turut komited sebagai rakan pembangunan ilmu kepada komuniti peladang.
Itu penegasan Ketua Pegawai Eksekutif Nafas Bajakimia Sdn. Bhd. (NBKSB), Zalifudin Md Arshad ketika melancarkan Buku Panduan Pembajaan Tanaman Komoditi dengan Baja Peladang sempena Festival Agro Madani Peladang @ Nafas Mall di Muar, Johor pada Sabtu.
Menurut beliau, buku tersebut dihasilkan sebagai panduan praktikal bagi membantu meningkatkan kefahaman peladang terhadap amalan pembajaan yang lebih efektif dan memberi impak kepada hasil tanaman.
“Buku ini turut mencerminkan komitmen NBKSB untuk memainkan peranan yang lebih luas dalam pembangunan sektor pertanian negara,” katanya.
Katanya, festival berkenaan juga menjadi platform strategik untuk NBKSB mendekatkan jenama Baja Peladang kepada masyarakat umum menerusi pendekatan lebih inklusif dan mesra komuniti.
Majlis pelancaran buku itu disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin.
Buku panduan tersebut dibangunkan menerusi kerjasama strategik bersama Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi Mara Cawangan Melaka Kampus Jasin sebagai rakan akademik dan teknikal dalam pembangunan kandungan. – KOSMO! ONLINE














