PETALING JAYA – Merasai kemanisan bergelar seorang ibu, pelakon Eyka Farhana selamat melahirkan bayi lelaki secara normal pada 16 Mei lalu.
Eyka atau nama penuhnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmiz, 31, berkata, kehadiran bayi yang diberi nama Muahmamd Luay Khayr Muhammad Akhyar melenyapkan segala kesakitan dilalui sepanjang proses melahirkan.
“Masya-Allah, momen paling indah berlaku pada 16 Mei 2026. Alhamdulillah, Baby L selamat dilahirkan secara normal.
“Kesemua kesakitan hilang sekelip mata ketika saya melihat wajah kecil awak sayang.
“Selamat datang ke dunia hero saya, Muhammad Luay Khayr Muhammad Akhyar,” katanya dalam satu hantaran Instagram.
Tambah Eyka, anak sulungnya itu akan diberikan kasih sayang sepenuhnya dan kelahirannya merupakan harta paling bernilai dalam hidup ketika ini.
“Awak disayangi, berharga dan menjadi sebahagian jiwa kami.
“Kami menyayangi awak lebih daripada sebarang kata-kata yang terucap,” ujarnya.
Menerusi perkongsian sama, Eyka turut memuat naik video Akhyar sebak selepas bergelar bapa.
Terdahulu, Eyka dan Akhyar pada April lalu mengumumkan bakal menimang cahaya mata lelaki.
Eyka dan Akhyar mendirikan rumah tangga pada 2 Mei 2024. – KOSMO! ONLINE














