KUALA LUMPUR – Gandingan regu utama negara, Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam tidak berdepan masalah menewaskan Jepun 2-0 pada aksi sulung peringkat Kumpulan A acara regu pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa hari ini, trio berkenaan mudah mencatat kemenangan 15-4 di set pertama menewaskan regu Jepun dibarisi Daishi Tamaki (tekong), Ikki Mito (pengumpan) dan Shuma Takata (perejam).
Dalam pada itu, tekong simpanan negara, Haziq Hairul Nizam turut diberikan peluang untuk melakukan ‘libasan’ sebelum tamat set pertama.
Bersambung set kedua, Jepun yang mempertaruhkan tekong kedua, Masaki Sasamoto menunjukkan aksi lebih kemas dan berjaya mendahului 12-10 sebelum Malaysia bangkit mencatat kemenangan 15-13.
Sementara itu, ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun turut memberikan peluang kepada perejam simpanan, Noraizat Nordin beraksi di set kedua dalam usaha memecahkan hadangan dilakukan Jepun.
Kemenangan tersebut boleh dianggap sudah mengesahkan kemaraan Malaysia ke suku akhir dengan pertemuan menentang Singapura Isnin nanti bakal menentukan pasukan mana akan menjadi juara kumpulan. – KOSMO! ONLINE














