PADA suapan pertama, bahagian luar roti itu terasa rangup dan sedikit berkerak, hasil daripada mentega yang cair semasa proses pembakaran, lalu membentuk lapisan luar yang garing.
Apabila digigit lebih dalam, tekstur dalamnya berubah menjadi lembut dan gebu, memberikan kontras yang menyenangkan antara bahagian luar dan dalam.
Dari segi rasa, roti garam Jepun tersebut cenderung kepada rasa masin yang sederhana, tidak terlalu kuat tetapi cukup untuk menaikkan keseluruhan profil roti.
Rasa mentega yang meresap di dalam doh menambahkan kelembutan berlemak serta sedikit aroma wangi yang kaya.
Setiap kunyahan menghadirkan gabungan rasa masin, bermentega dan sentuhan keperangan, menjadikannya tidak jemu walaupun dimakan berulang kali.
Itulah istimewanya salt bread atau shio pan dalam bahasa Jepun yang ditawarkan di Toko Roti Mentari di Mori Mori Eatery, Batu 13, Jalan Cheras, Kajang, Selangor.

Menurut pemilik bersama kafe tersebut, Khairunnisa Effendi, 29, salt bread ditawarkan dalam beberapa variasi iaitu perisa original, blueberry cream cheese dan coklat.
“Salt bread merupakan pastri popular dari Jepun (shio pan) yang mempunyai tekstur dan rasa berbeza berbanding roti biasa.
“Ia menggunakan garam dalam kuantiti seimbang untuk menyerlahkan rasa mentega serta membantu struktur doh. Tekstur luar yang rangup terhasil daripada mentega yang cair semasa proses pembakaran, manakala bahagian dalamnya kekal lembut.
“Kami turut menggunakan bahan premium seperti pure butter dan coklat couverture, serta teknik brown butter untuk menambah rasa dan aroma yang lebih kaya,” katanya kepada CitaRasa.
Selain salt bread, kafe tersebut turut menawarkan bagel yang merangkumi perisa parmesan dan jalapeno.
Bagel dihidangkan bersama scallion cream cheese yang memberikan rasa lebih berkrim, sedikit masin dan segar dengan aroma daun bawang yang ringan, sekali gus melengkapkan keseluruhan rasa bagel tersebut.
Sementara itu, pilihan kek pula termasuk burnt cheesecake, butter banana chocolate dan lemon pound cake yang dihasilkan menggunakan bahan premium seperti pure butter dan coklat couverture.
Semua produk di kafe tersebut dihasilkan secara handmade dan dibakar segar setiap hari bagi menjamin kualiti serta kesegaran.

Proses penyediaannya melibatkan tempoh pemeraman doh selama kira-kira 45 minit, diikuti dengan proses pembakaran selama lebih kurang 15 minit sehingga mencapai tekstur dan rasa yang optimum.
Kafe ini juga memberi fokus kepada minuman berasaskan kopi, terutamanya cold brew, dengan penggunaan sirap yang minimum bagi mengelakkan minuman terlalu manis.
Cold brew dihasilkan melalui proses rendaman kopi selama kira-kira 12 jam tanpa menggunakan mesin espresso.
Proses ini menghasilkan kopi yang lebih smooth dan rendah keasidan berbanding kopi biasa.
Antara minuman signatur ialah kopi berasaskan cold brew serta creamy cocorange yang menggunakan gabungan coconut cream, jus oren dan sedikit garam laut untuk menghasilkan rasa yang unik.
Tambah Khairunnisa lagi, kafenya yang merupakan salah satu daripada beberapa vendor di kawasan sama mempunyai dua waktu operasi.
“Kafe ini beroperasi dari pukul 7.30 pagi hingga 11.30 pagi dengan fokus kepada minuman berasaskan kopi sahaja dan tanpa jualan bakeri.
“Operasi disambung semula pada waktu petang hingga malam iaitu dari 4 petang hingga 11.30 malam, di mana menu yang sama ditawarkan dengan tambahan pilihan bakeri,” katanya.















