fbpx
Keadaan kelas sebelum dan selepas diubah suai selama empat tahun.

Dari kelas ‘bermasalah’, Cikgu Ali ubah jadi hotel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bermula dengan sebuah bilik darjah bermasalah yang menggunakan penutup jendela gulung (roller shutter) serta berdepan gangguan burung, seorang guru sekolah rendah berjaya mengubah ruang tersebut menjadi kelas Bahasa Inggeris (BI) selesa sehingga digelar seperti ‘hotel’.

Guru dikenali sebagai Mr. Ali itu berkongsi perjalanan hampir empat tahun membangunkan bilik bahasa Inggeris berkenaan menerusi akaun TikTok miliknya, malam tadi.

Menurutnya, kelas tersebut pada awalnya berada dalam keadaan kurang kondusif apabila dia perlu menukar tikar getah setiap tahun selain berdepan kerosakan kerusi dan meja yang tidak tahan lama kerana digunakan oleh pelbagai jenis murid.

“Saya cerita sedikit kenangan saya menjadi seorang guru sekolah rendah. Empat tahun lepas saya diberikan bilik jenis ‘roller shutter door’, selain ada masalah burung di situ. Setiap tahun saya kena tukar tikar getah, kerusi dan meja guna yang murah-murah, tak tahan lama sebab bermacam jenis murid,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menjadikan kekangan tersebut sebagai alasan untuk berputus asa, sebaliknya mengambil masa sedikit demi sedikit menaik taraf ruang pembelajaran itu agar lebih menarik dan selesa.

Katanya, antara perubahan dilakukan termasuk memasang lantai jenis ‘SPC flooring’ (lantai vinyl tegar) bagi memberikan keselesaan kepada murid selain menghias kelas dengan konsep warna putih dan tona cerah.

“Kelas saya sebelah boleh duduk mana-mana, sebelah lagi memang ada meja dan kerusi. Jadi murid boleh pilih.

“Bilik saya memang penuh warna putih dan cerah, tetapi saya ajar mereka disiplin dan jaga harta benda dengan sebaiknya. Jadi kelas sentiasa bersih, anak murid saya rajik semuanya,” ujarnya.

Tambahnya, usaha tersebut nyata berhasil apabila kelasnya sentiasa dipenuhi murid, malah ada yang sanggup keluar rehat lebih awal semata-mata tidak sabar untuk masuk ke bilik bahasa Inggeris itu.

“Kelas sentiasa penuh, kadang mereka naik rehat awal sebab tak sabar nak masuk bilik BI yang macam hotel katanya.

“Saya tahu orang akan tanya apa jadi kalau saya pindah sekolah. Saya sudah fikir semua ini sebelum buat. Saya tak akan ambil walau satu pun barang dalam bilik ini. Biarlah ia jadi kegunaan guru dan murid seterusnya,” katanya.

Selain menyediakan persekitaran pembelajaran menarik, Mr. Ali juga mengakui sering membantu murid dengan membekalkan pakaian, seluar dan alat tulis sebagai usaha menarik minat mereka hadir ke sekolah.

“Macam-macam saya buat untuk tarik minat murid ke sekolah dan belajar. Buat apa yang kita suka dan beri manfaat pada orang lain. Selamat Hari Guru buat semua guru-guru di Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN