PETALING JAYA – Siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan proses kelulusan beberapa projek pembangunan yang didakwa menjejaskan fungsi kolam takungan air di sekitar Kuala Lumpur diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd. Hafaz Nazar berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan susulan aduan melibatkan perkara tersebut pada 2022.
“SPRM telah membuka kertas siasatan susulan aduan berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan beberapa pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur bagi tempoh antara tahun 2015 hingga 2021.
“Antara dakwaan yang disiasat termasuk penukaran status beberapa kawasan berhampiran kolam takungan air di ibu negara termasuk di Taman Wahyu bagi tujuan pembangunan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd. Hafaz berkata, SPRM telah menjalankan siasatan secara menyeluruh berdasarkan dokumen dan keterangan yang diperoleh sebelum kertas siasatan dilengkapkan pada tahun 2023 dan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya.
“Bagaimanapun, berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan, tiada unsur rasuah dikenal pasti dan kes telah diputuskan sebagai NFA,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau memberitahu bahawa SPRM telah telah memberi peringatan kepada DBKL supaya memperketat pemantauan dan kawal selia terhadap projek pembangunan berhampiran kolam takungan air bagi memastikan semua syarat dan spesifikasi yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak kontraktor.
Menurut beliau, sekiranya berlaku sebarang pelanggaran syarat atau pembangunan yang menjejaskan fungsi kolam takungan air, maka perkara itu berada di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan serta memberi penjelasan memandangkan aspek pemantauan, kawal selia dan kelulusan pembangunan adalah di bawah bidang kuasa DBKL.
Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh masih menunggu hasil siasatan SPRM berhubung isu pengurusan kolam takungan banjir sebelum membuat sebarang tindakan lanjut.
Hannah berkata, laporan berhubung isu itu dibuat pada 2021 ketika beliau masih berada di blok pembangkang, namun sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas.
Hannah mendedahkan, pihaknya memandang serius keadaan itu apabila 70 peratus daripada 17 lot tanah berkenaan telah diberi hak milikan kepada pemaju sejak 2015 bagi tujuan pembangunan, sekali gus menyebabkan pengurangan kapasiti badan air berbanding keluasan asal 114.5 hektar. – KOSMO! ONLINE














