fbpx
Sungai Pahang. Gambar Hiasan

Isu pasir bukan sekadar keuntungan komersial – MB Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Isu eksport pasir di negeri ini tidak wajar dipolemikkan atau dilihat hanya daripada sudut keuntungan komersial semata-mata.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya, ia perlu difahami dalam konteks yang lebih luas melibatkan pengurusan alam sekitar, mitigasi banjir, kelangsungan industri, peluang ekonomi serta sumber hasil kepada negeri.

“Sebab itu, kerja-kerja pengorekan dan mendalamkan sungai di kawasan tertentu tidak boleh dilihat semata-mata sebagai aktiviti ekonomi atau perlombongan pasir. Hakikatnya, ia merupakan sebahagian daripada langkah mitigasi banjir dan pengurusan sungai yang penting demi keselamatan rakyat serta kelestarian sistem sungai di negeri ini.

“Sekiranya kerja-kerja mendalamkan sungai ini tidak dilaksanakan melalui kaedah konsesi pasir yang terkawal, kerajaan negeri terpaksa menanggung kos yang amat besar menggunakan peruntukan awam bagi tujuan penyelenggaraan sungai, pengorekan mendapan dan pelaksanaan langkah tebatan banjir secara berterusan,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Tambahnya, pada minggu hadapan, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi membincangkan isu itu secara menyeluruh bagi memastikan kepentingan negeri, kesejahteraan rakyat serta peningkatan hasil negeri dapat dijana dengan sebaiknya.

Menurut Wan Rosdy, isu pasir ini tidak boleh disamakan antara aktiviti pengorekan di kawasan hulu sungai dengan kerja-kerja mendalamkan sungai di kawasan hilir dan muara yang mempunyai fungsi serta implikasi berbeza.

Katanya, pasir yang terdapat di kawasan hilir dan muara sungai kebanyakannya adalah hasil mendapan semula jadi akibat hakisan tanah, pergerakan arus serta aliran sungai yang berlaku secara berterusan.

“Apabila mendapan ini semakin menebal, dasar sungai menjadi semakin cetek dan keupayaan aliran air turut terjejas. Keadaan ini bukan sahaja mengganggu sistem saliran sungai, malah meningkatkan risiko limpahan air dan banjir terutama ketika musim tengkujuh serta hujan lebat,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN