PETALING JAYA – Semua pimpinan dan ahli parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) dilarang membuat sebarang kritikan yang tidak wajar secara semberono kepada mana-mana parti komponen yang lain.
Ia meliputi sama ada melalui media mahupun sebarang saluran lain.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebarang ketidakpuasan hati haruslah disalurkan kepada saluran parti masing-masing yang kemudiannya akan dibawa, dibincangkan dan diputuskan secara musyawarah di dalam PN.
Beliau berkata, masalah dalaman parti pastinya akan diurus dan dikendalikan secara dalaman dengan lebih berkesan, bijaksana dan positif.
“PN menerusi kepimpinannya kini akan menumpukan segala usaha dan tenaga kepada isu yang lebih besar yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi dilaporkan berkata, adalah lebih baik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada PN kerana menyifatkan parti itu kini seakan-akan sudah hilang roh perjuangan.
Beliau menjelaskan, keadaan itu berlaku apabila pemimpin parti itu didakwa ‘disembelih’ satu demi satu hingga tidak lagi memberi impak dalam gabungan tersebut.
Hantaran itu dimuat naik di media sosial dipercayai susulan kemelut dalaman Bersatu yang semakin memuncak selepas beberapa pemimpinnya dikenakan tindakan pemecatan dan pergantungan sejak beberapa hari lalu. – KOSMO! ONLINE














