PETALING JAYA – Penduduk sekitar Selayang, Gombak dan Kepong serta kawasan sekitarnya terkejut dengan kehadiran satu pesawat di ruang udara yang terbang rendah serta berpusing beberapa kali di ruang udara.
Menerusi hantaran video dikongsikan pengguna Thread Dynafqah, dia melihat pesawat berkenaan yang terbang rendah sekitar perumahannya dan membuat pusingan beberapa kali dengan bunyi kuat.
“Kapal terbang ni kenapa weh? Ni kat kawasan Taman Selayang Mutiara, kenapa ek dia terbang rendah lepas tu pusing dua, tiga kali tempat sama. Kuat bunyi,” katanya pada kapsyen.
Ia mendapat pelbagai maklum balas termasuk penduduk di Kepong dan Gombak serta kawasan berdekatan yang turut melihat pesawat berkenaan di ruang udara perumahan mereka.
“Tadi pagi dekat kawasan Greenwood Gombak dia lalu. Saya seram, ingatkan cari tempat mendapat. Kalau waktu Hari Mereka pun tak lah rendah macam ni,” kata pengguna Thread Zrhjkt.
“Saya nampak dari Sentul pagi tadi. Fikiran saya pun sama, pelik kapal terbang ni,” kata Mieruq.
“Eh tadi pun kita nampak masa lalu sebelah tol Gombak. Kenapa ya?,” kata Fawraazman.
“Tulah, lalu juga kat rumah kita Kepong,” kata Elmeera.zf serta memuat naik video di ruangan komen.
Sementara itu, ada pengguna Thread mendakwa, pesawat berkenaan dipercayai milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selain ia perkara biasa untuk membuat sesi latihan.
“Itu TUDM, mungkin diorang buat latihan,” komen Syazniaizat.
“Biasa tu, buat latihan kadang-kadang kawasan Shah Alam, Sungai Buloh atau Puncak Alam. Asap tu sebab enjin dia dan akan keluar lebih asap bila berlepas dan nak ‘mendaki’. Begitu kira-kiranya,” kata Herleeyank.
Bagaimanapun, buat masa ini tiada kenyataan dikongsikan oleh pihak TUDM di media sosial berhubung pesawat berkenaan. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














