fbpx
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini. Foto oleh AMRAN ALI / KOSMO!

Lelaki bujang didakwa curi coli pelbagai saiz, pakaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang pemuda didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri beberapa helai pakaian termasuk baju dalam wanita dan gaun di sebuah butik terkenal, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Aidil Mustaqim Zulkifeli, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri sembilan barang milik sebuah butik pakaian kira-kira pukul 7.50 malam di pusat beli-belah Aeon, Jalan Lagenda, Taman Lagenda, dalam daerah Melaka Tengah pada 10 Mei lalu.

Antara barangan yang dicuri ialah pakaian dalam wanita bersaiz S, M dan L, gaun, kemeja-T wanita, kemeja-T dan seluar pendek lelaki dengan jumlah keseluruhan kerugian RM491.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, pesalah juga boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000.

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan hanya bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menanggung ibu menghidap barah otak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN