JOHOR BAHRU – Seramai tiga individu ditahan berhubung kes tembakan yang meragut nyawa seorang lelaki, manakala seorang lagi cedera dalam kejadian di hadapan premis pusat hiburan di Taman Industri Jaya, Skudai di sini malam kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, wanita tempatan dan dua lelaki masing-masing berusia 26 hingga 29 tahun itu ditahan di sekitar Johor Bahru semalam.
“Seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan tiada rampasan senjata daripada tiga suspek tersebut. Setakat ini kita tidak dapat mengesahkan sama ada kejadian melibatkan kongsi gelap,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang maut masih bujang dan bekerja di sebuah gudang di Singapura selain tidak mempunyai rekod jenayah. Hubungan lelaki itu dengan seorang lagi mangsa hanyalah kenalan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki berusia 27 tahun maut, manakala seorang lagi cedera selepas ditembak dalam kejadian pada pukul 11 malam di Skudai malam kelmarin. – KOSMO! ONLINE














