LONDON dan AUSTIN, Texas, 11 Mei 2026 /PRNewswire/ — The King’s Foundation dan FormationQ hari ini mengumumkan perkongsian baharu untuk mempamerkan bagaimana bandar dan pekan di seluruh Komanwel boleh berkembang secara mampan menggunakan teknologi kuantum.
Perkongsian yang dikenali sebagai Pertumbuhan Bandar yang Harmoni: Rangka Kerja Pengembangan Dioptimumkan untuk Kesihatan Menggunakan Kaedah Kuantum (Harmonious Urban Growth: A Health-Optimised Expansion Framework Using Quantum Methods) ini merupakan program selama tiga tahun yang direka untuk membantu bandar berkembang secara mampan sambil meningkatkan kesihatan manusia dan planet. Inisiatif ini akan menggabungkan pemodelan pengiraan termaju, termasuk pengoptimuman kuantum yang dipacu sistem ion terperangkap daripada IonQ, bagi meneroka kaedah baharu dalam perancangan sistem bandar yang kompleks dan perancangan bandar mampan.
Pada masa ini, kira-kira 1.3 bilion penduduk tinggal di penempatan tidak terancang, dan jumlah itu dijangka meningkat lebih satu bilion lagi dalam tempoh 30 tahun akan datang. Apabila pembangunan bandar berlaku tanpa rangka kerja perancangan, infrastruktur dan perkhidmatan awam sering bergelut untuk mengikuti pertumbuhan populasi, sekali gus mewujudkan cabaran jangka panjang terhadap mobiliti, kesihatan awam dan daya tahan alam sekitar. Perancangan awal membantu bandar menjadi lebih sesuai didiami, mesra pejalan kaki dan mampan. Di banyak kawasan yang berkembang paling pesat, sumber perancangan profesional adalah terhad, sedangkan keperluan untuk mengatur pengembangan bandar tidak pernah menjadi lebih penting.
Program Harmonious Urban Growth dibina berasaskan Rapid Planning Toolkit milik The King’s Foundation, iaitu metodologi praktikal yang dibangunkan bersama rakan Komanwel susulan Deklarasi mengenai Pembandaran Mampan (CHOGM 2022). Toolkit tersebut membolehkan datuk bandar, pihak berkuasa perancangan dan profesional persekitaran binaan mewujudkan rangka kerja yang jelas bagi membimbing pembangunan secara bertanggungjawab sebelum corak penempatan tidak formal menjadi sukar untuk dipulihkan semula.
Toolkit itu telah diuji di Bo, Sierra Leone, di mana ia membantu pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan komuniti mengelakkan pembangunan di kawasan tanah lembap yang mudah dilanda banjir sambil mengenal pasti kawasan mesra pejalan kaki dan koridor infrastruktur untuk pengembangan masa depan.
Program tiga tahun ini akan disokong oleh perunding perancangan bandar dari UK, Space Syntax, yang akan menyumbang kepakaran mereka berkaitan bandar, pemetaan dan data kepada inisiatif tersebut. Bekerjasama dengan The King’s Foundation dan FormationQ, mereka akan menggunakan teknik pemodelan digital dalam proses toolkit itu dengan memanfaatkan teknologi kuantum IonQ bagi membangunkan platform baharu yang dapat menyokong pemahaman terhadap kerumitan bandar.
Ben Bolgar, Pengarah Eksekutif Projek di The King’s Foundation, berkata:
"Kami teruja untuk bekerjasama dengan FormationQ bagi meneroka bagaimana Rapid Planning Toolkit kami dapat membantu komuniti berkembang secara mampan di seluruh dunia. Kami berharap usaha Pasukan Projek di The King’s Foundation akan memberi impak positif kepada lebih banyak komuniti hasil daripada kerjasama ini."
Melalui perkongsian ini, FormationQ akan menyumbang keupayaan pengiraan dan pengoptimuman termaju dengan memanfaatkan platform kuantum IonQ, bagi membolehkan perancang meneroka sejumlah besar konfigurasi spatial berpotensi merentasi sistem saling berkait termasuk rangkaian air, koridor ekologi, infrastruktur pengangkutan, pusat kejiranan dan struktur blok bandar.
Perancangan bandar merentasi lapisan ini melibatkan keputusan gabungan yang kompleks. Teknik pengoptimuman termaju, termasuk pendekatan kuantum, boleh membantu menganalisis interaksi ini dengan lebih cekap serta menjana rangka kerja ruangan alternatif yang mengimbangi mesra pejalan kaki, daya tahan alam sekitar, kecekapan infrastruktur dan akses ekonomi.
Nada Hosking, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif FormationQ, berkata:
"Pembandaran pesat merupakan salah satu cabaran sistem paling kompleks pada abad ke-21. Bandar perlu mengimbangi daya tahan alam sekitar, kapasiti infrastruktur, peluang ekonomi dan kesejahteraan manusia secara serentak. Kemajuan dalam pemodelan pengiraan, termasuk teknik pengoptimuman kuantum, menawarkan pendekatan baharu untuk meneroka interaksi kompleks ini dan menyokong keputusan perancangan yang lebih baik."
Pemodelan pengiraan itu akan memaklumkan proses perancangan secara penyertaan, di mana perancang, pihak berkuasa tempatan dan wakil komuniti akan menilai pilihan ruangan serta membentuk rangka kerja pilihan. Pelan yang dicadangkan kemudiannya boleh diuji secara langsung di tapak, dengan jalan, dataran dan ruang awam ditandakan secara fizikal di atas tanah serta dipetakan secara digital bagi membimbing pembangunan awal.
Dengan menggabungkan pengkomputeran kuantum, perancangan penyertaan dan ujian lapangan, program Harmonious Urban Growth menyasarkan untuk mewujudkan rangka kerja berskala bagi membimbing pengembangan bandar mampan di kawasan yang mengalami pembandaran pesat. Kerjasama antara The King’s Foundation dan FormationQ mencerminkan komitmen bersama untuk menyokong komuniti yang berdaya tahan serta pengurusan bertanggungjawab terhadap persekitaran binaan.
Catatan kepada Editor
Maklumat tentang The King’s Foundation
The King’s Foundation diasaskan oleh Raja Charles III dan mula ditubuhkan pada tahun 1990. Misi teras badan amal itu adalah untuk membina komuniti mampan dan mengubah kehidupan.
Diinspirasikan oleh nilai-nilai Seri Paduka Baginda, Yayasan itu membina serta menyokong komuniti manusia, tempat dan planet dapat wujud bersama secara harmoni. Pasukan Projek Yayasan beroperasi di peringkat domestik dan antarabangsa merangkumi penglibatan pihak berkepentingan dan komuniti, perancangan induk serta penjanaan semula komuniti. Sepanjang lebih 35 tahun, pasukan itu telah membangunkan pelan untuk ratusan ribu kediaman dalam komuniti mesra pejalan kaki serta menghidupkan semula pelbagai bangunan bersejarah. Selain kehadirannya di UK, Yayasan itu turut melaksanakan projek di lebih sedozen lokasi di seluruh dunia.
The King’s Foundation beribu pejabat di projek penjanaan semula utamanya, Dumfries House di Ayrshire, Scotland, dan bertindak sebagai penjaga beberapa tapak Diraja bersejarah lain termasuk Highgrove Gardens dan The Castle of Mey. Badan amal itu juga mengurus program pendidikan dan acara kebudayaan di London menerusi The King’s School for Traditional Arts, The Garrison Chapel dan Trinity Buoy Wharf.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.kings-foundation.org / atau e-mel kepada [email protected].
Maklumat tentang FormationQ
FormationQ ialah lapisan pemudah cara bagi penerimagunaan kuantum global. Syarikat itu membangunkan laluan institusi dan struktur kolaboratif yang membolehkan teknologi kuantum beralih daripada penyelidikan perintis kepada penggunaan dunia sebenar. Bekerjasama dengan institusi terkemuka dan rakan teknologi, FormationQ mengendalikan serta menyokong program yang memajukan pembangunan bakat, pembentukan aplikasi dan penyelarasan ekosistem dengan cara yang boleh ditadbir urus, dipercayai dan dikekalkan untuk jangka panjang.
Maklumat tentanfg IonQ
IonQ, Inc. [NYSE: IONQ] ialah platform kuantum dan pembekal komersial terkemuka dunia yang menyediakan penyelesaian kuantum bersepadu merangkumi pengkomputeran, rangkaian, penderiaan dan keselamatan. Generasi terkini komputer kuantum IonQ, IonQ Tempo, merupakan sistem terbaharu dalam rangkaian teknologi canggih syarikat yang membantu pelanggan dan rakan kongsi termasuk Amazon Web Services, NVIDIA dan AstraZeneca mencapai prestasi 20 kali ganda serta mempercepat inovasi dalam penemuan ubat, sains bahan, pemodelan kewangan, logistik, keselamatan siber dan pertahanan. Pada tahun 2025, syarikat itu mencapai ketepatan gerbang dua-qubit sebanyak 99.99%, sekali gus mencatat rekod dunia dalam prestasi pengkomputeran kuantum.
Beribu pejabat di College Park, Maryland, IonQ mempunyai operasi di California, Colorado, Massachusetts, Tennessee, Washington, Itali, Korea Selatan, Sweden, Switzerland, Kanada dan United Kingdom. Perkhidmatan pengkomputeran kuantum syarikat tersedia melalui semua penyedia awan utama, selain turut memenuhi keperluan pelanggan rangkaian dan penderiaan merentasi darat, laut, udara dan angkasa. IonQ menjadikan platform kuantum lebih mudah diakses dan lebih berimpak berbanding sebelum ini. Ketahui lebih lanjut di IonQ.com.
Hubungan Media FormationQ
[email protected]
Matthew Strebe
FormationQ
[email protected]
Logo – https://mma.prnewswire.com/media/2875539/FormationQ_logov1.jpg
Sumber artikel: http://www.prnasia.com/asia-story/archive/4955278_MS55278_6















