KUALA LUMPUR – Ahli parlimen Muar, Syed Saddiq menyifatkan tunangnya, Bella Astillah sebagai seorang ibu yang luar biasa.
Saddiq atau nama lengkapnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, menzahirkan pandangannya terhadap Bella sempena sambutan Hari Ibu yang disambut hari ini.
“Bella seorang wanita yang luar biasa dan lebih luar biasa sebagai seorang ibu. Contoh terbaik lihatlah Ayden dan Ara. Berapa sopannya mereka. Itu datang daripada didikan ibunya,” katanya ketika ditemui di majlis penyampai sijil Halal Auntea Jenny, di sini, hari ini.
Sering digelar ibu yang kuat dan menjadi inspirasi kepada ramai wanita, Bella Astillah atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, bagaimanapun merendah diri sambil mengakui dirinya bukanlah ibu yang terbaik.
“Bella tak sempurna. Alhamdulillah kalau ada yang mengidolakan. Tetapi sebenarnya banyak lagi yang saya perlu perbaiki sebagai seorang ibu.
“Saya masih belajar. Sekarang pun saya tengok apa yang mama buat dan ambil contoh-contoh yang positif untuk diterapkan bagi menjadi ibu yang baik untuk Ayden dan Ara.
“Sebagai ibu kita kena tunjuk yang baik supaya bila anak-anak membesar mereka akan ikut kelakuan, sikap dan adab baik,” jelasnya.
Bercerita mengenai sambutan hari ibu, kata Bella dia sangat teruja untuk menyambut bersama ibunya.
“Mama sentiasa menjadi sumber kekuatan buat saya, sentiasa ada ketika susah, senang, sedih dan ketawa.
“Mama akan sentiasa teman saya ke mana sahaja saya pergi walaupun penat macam mana sekalipun dia sentiasa ada,” ujarnya.
Ditanya bagaimana sambutan Hari Ibu tahun ini, kata Bella dia sudah meraikan momen istimewa tersebut semalam bersama ibu tercinta. – KOSMO! ONLINE.














