SHAH ALAM – Keindahan dan kesucian Islam terus menarik masyarakat pelbagai bangsa termasuk pelancong asing apabila seramai 1,675 saudara baharu direkodkan memeluk Islam di Selangor tahun lalu.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, jumlah itu turut melibatkan masyarakat Orang Asli dengan 772 daripada jumlah keseluruhan itu diislamkan menerusi 41 Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) MAIS di seluruh negeri.
Menurut beliau, seramai 168 individu lagi mendaftarkan pengislaman mereka di Ibu Pejabat MAIS, Pejabat Ketua Pendaftar Mualaf dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).
“Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya dan faktor utama adalah kerana mereka menerima hidayah Allah selain tertarik dengan keindahan ajaran Islam,” katanya selepas merasmikan majlis Apresiasi dan Jalinan Ukhwah PPP 2026 di sini, hari ini.
Pada majlis itu, MAIS menyalurkan sumbangan berjumlah RM94,000 kepada PPP yang membantu menguruskan pendaftaran pengislaman mengikut prosedur ditetapkan.
Salehuddin berkata, mualaf perlu mendaftarkan pengislaman bagi mengelak pelbagai kesulitan terutama membabitkan urusan tuntutan harta, kematian dan bantuan kebajikan. – KOSMO! ONLINE














