KUALA LUMPUR – Peminat bola sepak tempatan berpeluang untuk menyaksikan kelibat bintang dunia secara lebih dekat pada aksi All Star Legends yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 3 Oktober ini.
Perlawanan pertunjukan ini akan membabitkan pertemuan AllStar Premier Legends yang dibarisi bintang terkenal Liga Perdana Inggeris dan AllStar World Legends, barisan legenda antarabangsa.
Legenda England, Steven Gerrard dijangka akan turut serta dalam perlawanan itu malah bekas kapten Liverpool merakan penganjuran kali ini memiliki keunikan tersendiri.
“Saya rasa ia adalah satu acara yang hebat dalam beberapa bulan nanti. Saya berharap dapat meluangkan masa untuk datang dan menjadi sebahagian daripadanya,” katanya pada sidang media AllStar Legends, hari ini.
All Star Premier Legends akan dibarisi bekas pemain ternama Liga Perdana Inggeris, antaranya Jaap Stam, Eidur Gudjohnsen dan Ian Harte.
Sementara itu, All Star World Legends pula diperkuatkan dengan nama besar antarabangsa termasuk bekas penjaga gol AC Milan, Dida, legenda Argentina, Javier Saviola serta bekas bintang Brazil, Maicon.
“Sukan sentiasa menjadi jambatan yang menghubungkan komuniti, dan bola sepak pula berada di tempat istimewa di hati kita. Acara seperti ini bukan sahaja meraikan para pemain—malah turut meraikan peminat, yang menjadikan bola sepak cukup istimewa melalui semangat dan cinta mereka terhadap sukan ini.
“Permainan bola sepak juga mengingatkan kita bahawa walaupun dunia berpecah-belah, namun detik-detik seperti ini mampu menghidupkan keharmonian, perasaan saling menghormati dan harapan untuk keamanan yang berkekalan,” kata Pengarah Projek AllStar Sports, Encik Steven Windsor. – KOSMO! ONLINE














