PETALING JAYA – Terberg Tractors Malaysia Sdn Bhd (TTM), usaha sama antara Sime Darby Industrial Sdn Bhd (Sime Industrial) dan Royal Terberg Group BV (Royal Terberg) yang berpangkalan di Belanda, telah memperkenalkan traktor terminal elektrik berkuasa bateri sepenuhnya menerusi pelancaran YT201EV.
Traktor itu telah dilancarkan bersempena Hari Pengedar Global Terberg yang menghimpunkan lebih daripada 60 pengedar dan wakil dari lebih 30 negara di seluruh Asia, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Latin baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Terberg Tractors, Boo Wei Ching berkata, pihaknya telah menerima lebih 250 unit tempahan awal bagi model YT201EV dengan nilai mencecah kira-kira RM200 juta daripada pasaran domestik dan antarabangsa, termasuk Maghribi, Ivory Coast, Congo dan Ecuador.
“Pencapaian ini sejajar dengan pelan strategi tiga tahun kami untuk terus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju pasaran dalam operasi pelabuhan lestari, dengan sasaran pengeluaran lebih daripada 3,000 unit versi diesel dan elektrik TTM di Malaysia.
“Sambutan positif terhadap traktor terminal generasi baharu ini mencerminkan rekod pencapaian dan reputasi kukuh yang telah kami bina selama lebih dua dekad di seluruh pasaran global, berbekalkan kualiti pembuatan yang konsisten, kepakaran teknikal yang terbukti serta komitmen jangka panjang terhadap sokongan selepas jualan.
“Kami membangunkan YT201EV dengan tumpuan yang jelas terhadap prestasi operasi serta kelestarian. Peralihan kepada kuasa elektrik memainkan peranan bermakna kepada pengurangan emisi, sambil menyediakan tahap kebolehpercayaan yang diperlukan pelanggan kami dalam persekitaran yang mencabar,” katanya dalam kenyataan.
Unit pertama YT201EV akan diserahkan kepada pelanggan jangka panjang, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), pada suku ketiga 2026, berserta pakej khidmat penyenggaraan.
Penyerahan seterusnya akan menyusul kepada Marsa Maroc dan Port Nador West Med, Maghribi, pada suku tahun yang sama.
Sejak penubuhannya pada tahun 2005, TTM telah menyerahkan lebih daripada 8,000 traktor terminal dalam versi diesel dan elektrik, dengan pasaran eksport yang menjangkaui lebih daripada 50 negara di serata Asia, Timur Tengah, Afrika dan Amerika. Kemudahannya di Pasir Gudang kini menyokong kapasiti pengeluaran tahunan sehingga 1,000 unit. -KOSMO! ONLINE














