MELAKA – Tindakan seorang lelaki warga Kemboja dipercayai menebang pokok gaharu di kawasan Taman Botanikal Ayer Keroh di sini membawa padah apabila dia diberkas polis pada Isnin lalu.
Suspek berusia 40 tahun itu ditahan di kawasan parkir berhampiran lokasi kejadian kira-kira pukul 2.35 petang selepas pihak polis menerima laporan daripada pengawas hutan berhubung penemuan pokok gaharu yang ditebang secara tidak sah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengawas hutan berusia 53 tahun yang sedang melakukan rondaan di kawasan Taman Botanikal Ayer Keroh kira-kira pukul 10 pagi.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati sebatang pokok karas atau gaharu di kawasan tanah kerajaan itu telah tumbang dengan kesan ditebang menggunakan alat tajam.
“Susulan laporan diterima, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan seorang lelaki warga Kemboja di kawasan parkir berhampiran lokasi kejadian pada hari sama.
“Turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Preve, sebilah parang bersarung biru, karung guni dan beberapa keping kayu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes narkotik, namun ujian saringan air kencing dijalankan mendapati lelaki itu negatif dadah.
Tambahnya, siasatan awal percaya suspek menggunakan parang untuk menebang pokok berkenaan bagi mengambil isi gaharu.-KOSMO! ONLINE.






