fbpx
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret George Town, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD/-KOSMO!

Lelaki tak mengaku khianat rempuh 12 kenderaan di George Town

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Seorang pembantu kedai kopi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan melanggar 12 kenderaan di pusat bandar ini, minggu lalu.

Tertuduh, S. Prassanndh, 29 membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di dua mahkamah berasingan iaitu masing-masing di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi dan Nur Fadrina Zulkhairi.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa melakukan khianat dengan melanggar 12 kenderaan antaranya Perodua Alza, Myvi, Axia, Isuzu, Proton X70, Proton Saga, Toyota Yaris, Toyota Alphard, Jeep, Volkswagen dan Hyundai dengan nilai keseluruhan kerugian yang dialami mangsa lebih RM10,000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dari Jalan Tanjung Bungah hingga ke Bayan Baru, antara pukul 9 hingga 10 pagi, 30 April lalu.

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes tersebut dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad dan Lau Shavin manakala tertuduh diwakili peguam, M. Sharmila Shanthini.

Ketika prosiding yang dijalankan di dua mahkamah berkenaan, Sharmila memohon jumlah jaminan yang minima terhadap anak guamannya atas alasan tertuduh perlu menanggung isteri dan seorang anak berusia tujuh tahun selain dia tidak mempunyai pekerjaan yang tetap.

Selepas mendengar rayuan tersebut, mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin secara keseluruhannya sebanyak RM50,000 untuk kesemua kes dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 3, tertuduh juga membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan menghalang penjawat awam iaitu Koperal Mohd. Sabri Yusof ketika menjalankan tugas awamnya di Jalan Tanjung Bungah, pada tarikh yang sama. Bagi kesalahan itu, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Dalam kejadian pada Khamis lalu, anggota peronda polis (MPV) mengesan sebuah kereta jenis Kia Forte yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan di Jalan Tanjung Bungah.

Bagaimanapun, suspek dikatakan enggan memberi kerjasama sebaik diminta menghentikan kenderaannya sebelum dia bertindak memecut laju dari Jalan Tanjung Bungah ke kawasan Bayan Baru.

Kereta berkenaan didakwa melanggar sebanyak 12 kenderaan lain ketika dikejar pihak berkuasa terbabit sejauh kira-kira 20 kilometer. Kejadian tersebut turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 43 saat. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN