PONTIAN – Kegiatan satu sindiket menggunakan laluan haram untuk menyeludup migran berakhir selepas polis melancarkan Ops Pintas Bersepadu di tiga lokasi di Kampung Rambah di Pontian, Gelang Patah, Iskandar Puteri dan Kampung Perpat Timbul, Permas di sini, Selasa lalu.
Operasi yang bermula pada pukul 12.30 tengah malam hingga 5.30 pagi itu berjaya menahan beberapa individu dipercayai ‘transporter’, tekong darat, penjaga rumah penampungan, penarik pantai dan warga Indonesia.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, pihaknya menahan seorang lelaki Indonesia yang merupakan ‘transporter’, seorang lelaki Indonesia dan lelaki tempatan masing-masing tekong darat dan penjaga rumah penampungan.
“Turut ditahan dua lelaki Indonesia dipercayai tekong, seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai penarik pantai dan 11 lagi warga Indonesia yang dipercayai keluar dan masuk negara ini menggunakan laluan haram,” katanya dalam kenyataan di sini.
Hadzrat berkata, dua lelaki tempatan yang ditahan berusia 49 dan 52 tahun, manakala 13 lelaki Indonesia pula berusia 20 hingga 52 tahun. Turut ditahan tiga wanita Indonesia berusia 29 hingga 44 tahun.
Polis merampas pelbagai aset dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan termasuk sebuah kereta jenis Perodua Myvi, kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, dua alat kawalan jauh kenderaan, sebuah bot fibre dan enjin Yamaha 40 kuasa kuda.-KOSMO! ONLINE.














