BANGKOK – Lima buah kenderaan hilang kawalan dan berlanggar selepas lemak babi ditemui bertaburan di sebuah jambatan di wilayah Nakhon Pathom, Thailand, lapor portal berita Thaiger.
Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) dikongsi di platform TikTok oleh akaun @9876543210ix menunjukkan empat kenderaan termasuk sebuah trak pikap berhenti di lorong kiri.
Rakaman sama menunjukkan sebuah lagi trak pikap berwarna hitam berhenti di lorong kanan, dengan permukaan jalan dilihat licin dan dipenuhi cebisan lemak babi.
Tumpahan lemak babi itu menyebabkan kelima-lima kenderaan mengalami kerosakan.
Tiada pemandu atau penumpang yang dilaporkan cedera, demikian menurut media tempatan.
Polis Mueang Nakhon Pathom dan anggota bomba mengerahkan sebuah lori tangki air unuk membersihkan jalan demi mengelakkan kemalangan lain.
Pihak berkuasa akan meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut untuk mengenal pasti kenderaan yang menjatuhkan lemak babi ke atas jalan raya. – AGENSI














