fbpx
Gambar hiasan

Elaun Pasca Cuti Bersalin tidak jejaskan majikan, bela ibu bekerja – Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjelaskan pengenalan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) tidak memberikan kesan fiskal langsung kepada operasi majikan.

Malah kata agensi itu, elaun berkenaan berupaya menyerap sebahagian beban kos sara hidup pekerja ketika cuti tambahan melalui pendekatan perkongsian liabiliti yang akan menjadikan Malaysia seiring piawaian global seperti digariskan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Jelas Perkeso, pendekatan sedemikian juga telah dilaksanakan di pelbagai negara maju seperti Sepanyol, Portugal, Perancis dan China yang memanfaatkan dana keselamatan sosial bagi memastikan kelangsungan industri tanpa mengorbankan kebajikan wanita pasca bersalin.
“Pelaksanaan ini bukan sahaja kritikal dalam memelihara kesihatan wanita hamil, malah menjadi benteng yang menampan kecenderungan wanita meninggalkan kerjaya selepas bersalin ekoran dibebani peningkatan kos sara hidup keluarga.

“Sebagai penggerak utama, Perkeso bertekad menjadikan EPCB sebagai tunjang kepada pemangkin pasaran buruh Malaysia yang lebih inklusif, adil dan progresif,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Perkeso berkata, faedah terbaharu itu akan dilaksanakan melalui pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan bersetuju memperkenalkan EPCB pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan Orang Berinsurans (OB) wanita, yang akan dibayar secara one-off.

Beliau berkata, inisiatif itu, yang akan membabitkan pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dijangka memberi manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Perkeso memberitahu, kira-kira 1.6 juta individu, termasuk hampir 480,000 pekerja yang berulang-alik setiap hari menerusi Tambak Johor akan menerima manfaat daripada pelaksanaan Skim Pengembara Perkeso.

Menurut Perkeso, skim itu akan dilaksanakan menerusi Akta Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

Ujar agensi itu, ia berperanan untuk menutup kelompangan perlindungan sosial melibatkan pekerja rentas sempadan yang selama ini terdedah kepada risiko kelangsungan sosioekonomi.

“Langkah ini akan memastikan nadi ekonomi keluarga mendapat pembelaan sewajarnya daripada risiko yang tidak terjangkau.

“Ini bukan sekadar peluasan skim, sebaliknya manifestasi sokongan terhadap pengorbanan ratusan ribu pekerja yang berdepan risiko tinggi demi kelangsungan hidup,” kata Perkeso.

Tambah agensi itu, sebagai pemegang amanah perlindungan sosial negara, mekanisme operasi dan sistem sokongan telah diperkemas bagi memastikan pelaksanaan kedua-dua inisiatif tersebut berjalan lancar selaras aspirasi Kerajaan Madani. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN