fbpx
Konvensyen 80 Tahun UMNO berlangsung di WTC Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

Kekuatan UMNO terletak pada pengalaman luas, kesetiaan ahli – Tok Mat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – UMNO masih mempunyai dua kekuatan utama untuk mendepani cabaran semasa iaitu pengalaman luas dalam mengurus krisis serta kesetiaan ahli yang terus kekal bersama parti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO perlu menjadikan ulang tahun ke-80 sebagai titik anjakan untuk membina masa depan, bukan sekadar mengenang sejarah silam.

Katanya, sambutan tersebut harus dimanfaatkan untuk merangka hala tuju baharu yang lebih relevan dengan kehendak semasa rakyat.
“Ia adalah detik untuk kita merenung dan, lebih penting, merencana masa depan kerana bernostalgia semata-mata tidak mampu membina masa depan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Konvensyen 80 Tahun UMNO di sini hari ini.

Menurut beliau, kepimpinan parti percaya UMNO masih mempunyai asas yang kukuh untuk kembali bangkit.

“Kepimpinan parti yakin UMNO masih mempunyai dua kekuatan, iaitu pengalaman luas dalam mengurus krisis serta kesetiaan ahli yang terus bersama parti,” katanya.

Jelasnya, berteraskan kekuatan tersebut, parti kini memberi keutamaan kepada usaha memulihkan dan memperkukuh semula organisasi selepas berdepan tempoh mencabar sejak 2018.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat sebagai platform untuk menghimpunkan semula sokongan orang Melayu.

“Rumah bangsa ini untuk semua orang Melayu. Kemasukan kini dipermudah secara dalam talian, tidak seperti dahulu, dan ahli boleh mendaftar serta memperoleh kad keahlian dengan lebih mudah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad mengingatkan bahawa parti tidak boleh terlalu selesa kerana tahap sokongan orang Melayu kini tidak lagi seperti dahulu.

“Realitinya, orang Melayu hari ini tidak lagi semesra dahulu dengan UMNO, malah ada yang beranggapan parti ini tidak lagi diperlukan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan untuk melakukan perubahan secara berterusan, termasuk dalam pendekatan politik dan strategi pilihan raya.

“Kita tidak boleh terus bernostalgia, sebaliknya perlu menjawab persoalan apakah gagasan UMNO untuk masa depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN