fbpx
UTV terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri hiburan digital menerusi tayangan Filem TV (FTV) terbaharu berjudul Poskad Cinta Dari Istanbul.

‘Poskad Cinta Dari Istanbul’ fenomena, taruhan baharu UTV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Platform penstriman tempatan, UTV terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri hiburan digital menerusi tayangan Filem TV (FTV) terbaharu berjudul Poskad Cinta Dari Istanbul, yang mula ditayangkan pada 29 April 2026 pukul 9 malam.

FTV ini adalah kesinambungan daripada kejayaan Poskad Cinta Dari Auckland yang sebelum ini mencetuskan fenomena luar biasa dalam kalangan penonton, khususnya peminat pasangan popular Fattah Amin dan Amira Othman.

Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Adzliana Hasan berkata, kejayaan luar jangka karya terdahulu menjadi pemangkin utama kepada penerbitan sekuel ini.

“Sebab jumlah tontonan yang tinggi bagi Poskad Cinta Dari Auckland, ketika itu penonton belum pernah melihat Fattah dan Amira bergandingan, telah memberi impak besar. Tambahan pula, ia ditayangkan seminggu sebelum hari pernikahan mereka, membuatkan peminat sangat teruja dan menyokong karya tersebut.

“Melihat sambutan luar biasa itu, kami tampilkan Poskad Cinta Dari Istanbul sebagai kesinambungan. Kali ini, penonton dapat menyaksikan mereka sebagai pasangan suami isteri di layar, sesuatu yang dinantikan ramai,” katanya.

Menurutnya lagi, sokongan peminat bukan sahaja mengangkat kejayaan karya ini, malah turut memperkukuhkan jenama UTV sebagai platform pilihan.

“Apa yang kami hasilkan bukan hanya untuk kami, tetapi juga untuk peminat mereka yang sangat suportif. Kami amat menghargai sokongan ini, dan secara tidak langsung mereka kini juga menjadi peminat setia UTV,” tambahnya.

Mengulas kemungkinan kesinambungan seterusnya, Adzliana tidak menolak potensi Poskad Cinta diteruskan ke lokasi baharu.

“Memang sudah ada perbincangan awal untuk karya seterusnya. Namun, bergantung kepada perkembangan jalan cerita. Jika semuanya berjalan lancar, mungkin kita boleh lihat kesinambungan ini sebelum hujung tahun dengan latar musim dan negara yang berbeza. Itu masih kejutan,” katanya.

Poskad Cinta Dari Istanbul mengisahkan kehidupan pasangan baharu, Mira dan Din, yang diuji apabila Mira menerima sekeping poskad misteri dari Istanbul bertanda huruf “E”.

Perjalanan mereka ke Istanbul menemukan Mira dengan Effa iaitu cinta pertama Din yang sedang berdepan ujian hidup. Pertemuan itu membuka kembali kisah silam, sekali gus menguji kepercayaan dan kesetiaan pasangan tersebut.

Pelakon utama, Fattah Amin yang membawakan watak Din menyifatkan naskhah ini sebagai lebih mencabar dari segi emosi.

“Kali ini watak Din lebih kompleks kerana perlu berdepan masa lalu dan dalam masa sama menjaga perkahwinannya. Ia memberi dimensi baharu dalam lakonan saya,” katanya.

Manakala Amira Othman yang memegang watak Mira turut mengakui kekuatan cerita ini terletak pada kejujuran emosi.

“Mira bukan sekadar isteri, tetapi seorang wanita yang berdepan dilema antara kepercayaan dan kebenaran. Penonton akan dapat rasa konflik itu dengan sangat dekat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN