fbpx
Pertolongan dengan cara sogokan atau apa-apa bentuk favouritisme adalah diharamkan oleh Islam. - Gambar hiasan

Hukum mendapat kerja guna kabel atau kroni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Apa hukum dapat kerja menggunakan ‘kabel’ atau ‘kroni’?

JAWAPAN: Berkenaan isu dapat kerja menggunakan kabel atau kroni ini boleh dilihat dari segi perspektif yang berbeza. Perspektif yang pertama adalah melalui cara yang dibenarkan seperti dari sudut seorang majikan memilih pekerja atas dasar telah mengenali pekerja tersebut yang datang daripada keluarga miskin, dan pada masa sama mempunyai nilai kompetensi serta kelayakan bersesuaian.

Perspektif yang kedua pula adalah melalui sogokan, rasuah atau atas dasar kenal semata-mata seperti ahli keluarga atau sahabat karib tanpa sebarang nilai kompetensi atau kelayakan.

Maka inilah contoh yang buruk dan haram dilakukan kerana ia telah menzalimi mereka yang berhak. Huraiannya, isu kabel atau favouritism sudah menjadi budaya di dalam masyarakat kita, lebih-lebih lagi di dalam dunia pekerjaan. Konsep menggunakan ‘kabel’ atau kroni untuk mendapatkan pekerjaan boleh dilihat daripada dua perspektif berbeza.

Firman Allah SWT: “Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Nisa’, 85)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan syafaat atau pertolongan terbahagi kepada dua iaitu baik dan buruk. Syafaat yang baik seperti mengambil berat hak-hak seorang Muslim dengan cara menghindarkannya daripada bahaya, atau mendorongnya ke arah kebaikan dengan niat ikhlas demi Allah SWT serta tidak mengambil sogokan atau rasuah. Maka pertolongan seperti ini adalah diharuskan kecuali menolong orang untuk meringankan hukuman hadd atau melanggar hak orang lain.

Syafaat atau pertolongan yang buruk pula adalah berlawanan dengan syafaat baik. Antara contoh seperti menyogok menggunakan wang dan harta untuk menafikan hak orang lain atau mengambil harta orang lain.

Berdasarkan huraian tafsir di atas, kita dapat mengenal pasti bahawa pertolongan boleh dibahagikan kepada dua perspektif.

Perspektif pertama adalah melalui cara yang dibenarkan seperti meminta tolong rakan-rakan untuk memudahkan urusan kehidupan tanpa menafikan hak orang lain.

Contohnya, seorang majikan memilih pekerja atas dasar ingin membantu pekerja tersebut yang datang daripada keluarga miskin.

Perspektif yang kedua pula adalah melalui cara yang buruk dan haram. Islam melarang menggunakan ‘kabel’ dengan cara membayar sejumlah wang atau harta kepada orang lain dengan niat untuk mendapatkan sesuatu.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Rasulullah SAW melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang menerima rasuah dalam membuat keputusan berkenaan sesuatu perkara.” (Riwayat Tirmizi, 1336)

Imam al-San’ani dalam syarah Bulughul Maram menerangkan bahawa Islam melarang dan melaknat orang yang memberi serta menerima rasuah dalam memutuskan sesuatu keputusan.

Perkataan arrasyi juga boleh diertikan dengan orang tengah yang menjalankan urusan rasuah sama ada dia mengambil sedikit daripada hasil rasuah tersebut ataupun tidak.

Muhammad Soleh al-Munajjid pula menghuraikan dengan teliti berkenaan hukum mendapatkan sesuatu pekerjaan menggunakan ‘kabel’. Beliau mengatakan jika pertolongan oleh seseorang dalam syarikat itu mengakibatkan lucutnya hak orang yang lebih layak dari segi kompetensi serta keupayaan untuk menjalankan tugas dengan cekap, maka pertolongan itu adalah haram hukumnya.

Ia adalah ketidakadilan kepada mereka yang lebih layak, serta ketidakadilan yang dilakukan oleh autoriti kerana menghalang keupayaan orang lain untuk berkhidmat dengan cekap, tidak membantu mereka untuk membina potensi diri dan menjadi satu kehinaan kepada negara serta rakyat.

Keadaan ini akan membuatkan orang berhasad dengki, bersangka buruk dan merosakkan masyarakat secara tidak langsung. Ada pun jika tidak melanggar hak orang lain, maka ia tidak mengapa dan dituntut di dalam Islam.

Mari kita bersama-sama renungi sepotong hadis Nabi SAW: “Apakah kamu tahu siapakah itu golongan yang muflis?” Mereka berkata orang yang muflis itu ialah orang yang tidak mempunyai dirham dan harta.

Lantas Rasulullah SAW berkata: “Sesungguhnya orang yang muflis daripada kalangan umatku ialah orang yang di akhirat kelak dia akan datang bersama dengan amalan solat, puasa dan zakat (kebajikan), tetapi disebabkan dia mencela orang lain, memfitnah, memakan harta orang lain dengan cara yang haram, menumpahkan darah sesama manusia, maka pahala amalannya akan berpindah kepada sesiapa yang dizalimi olehnya. Dan jika pahala amalan baiknya tidak cukup untuk menebus dosanya, maka dosa-dosanya itu akan dikira sebagai amalannya lantas dimasukkan ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim, 2581)

Imam Nawawi melalui hadis ini menjelaskan mengenai akibat orang yang menzalimi dan melanggar hak orang lain. Pelaku dosa tersebut akan dibinasakan oleh Allah SWT dengan teruknya sehingga dia tidak mempunyai apa-apa.

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, maka kami simpulkan terdapat dua jenis ‘kabel’ iaitu yang pertama dibuat atas dasar telah saling mengenali dan bertujuan membantu, namun pada masa sama individu berkenaan mempunyai kompetensi bersesuaian.

Maka ‘pertolongan’ yang sebegini adalah harus dan dibenarkan. Sementara kategori yang kedua iaitu ‘pertolongan’ dengan cara sogokan atau apa-apa bentuk favouritisme atas dasar ahli keluarga atau sahabat karib yang tidak berasaskan kompetensi. Maka inilah jenis yang diharamkan kerana ia menzalimi hak orang lain dan boleh menyemai budaya tidak sihat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN