fbpx
Antara ikan tenggiri dan talang yang kena jig pada hari tersebut.

Fast jigging di Unjam 27 KM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Nama Unjam 27 KM itu sendiri ‘lahir’ kerana itulah jaraknya dari darat. Kedalaman dasarnya mencecah 33 meter dan dipenuhi pelbagai struktur buatan.

Sebagai satu bentuk struktur di tengah laut, ia menarik perhatian ikan-ikan kecil untuk berlindung, sekali gus membuatkan ikan pemangsa menghimpit mencari makanan yang mudah.

Perjalanan ke unjam ini bermula dari Kuala Pak Amat. Jika keadaan laut lenang, perjalanan akan mengambil masa kira-kira satu jam lebih.

Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan pemandangan laut biru yang luas terbentang tanpa sempadan. Angin laut yang menyapa kami menambahkan lagi semangat untuk memulakan aktiviti memancing.

Walaupun perjalanan agak jauh, namun keterujaan untuk sampai ke lubuk yang berpotensi tinggi itu membuatkan masa terasa begitu cepat berlalu.

Setibanya di sana, kami terus melabuhkan sauh. Arus yang sederhana kuat pula menjadikan kawasan ini sangat ideal untuk memainkan pelbagai teknik memancing, terutamanya fast jigging yang menjadi pilihan utama kami.

Fast jigging
Kami menggunakan jig yang dibuat khas untuk ikan tenggiri keluaran Asassin Jig Handmade daripada saudara Ejoe seberat 100 gram yang boleh didapatkan di kedai-kedai pancing sekitar Kota Bharu, Kelantan.

Selain itu, kami membawa beberapa ketul jig yang dibeli dari platform Shopee. Semua jig-jig ini berharga ‘ekonomi’ dan tidak terasa ralat sangat jika putus dibaham ikan bergigi tajam seperti tenggiri dan alu-alu.

Teknik fast jigging sentiasa menjadi sandaran kerana ia mampu meniru pergerakan ikan kecil yang panik. Setiap henjutan jig disertai kayuhan laju menghasilkan ilusi yang cukup meyakinkan bagi menarik perhatian pemangsa pelagik.

Dalam situasi itu, kekuatan fizikal dan fokus amat penting kerana teknik ini memerlukan tenaga yang berterusan. Namun, penat lelah itu seolah-olah hilang apabila memikirkan kemungkinan jig disambar ikan pada bila-bila masa sahaja.

Suasana di atas bot pada awalnya sunyi, masing-masing memberi tumpuan penuh kepada unjunan laju jig. Namun, ketenangan itu tidak bertahan lama apabila jig milik Muiz tiba-tiba disambar ikan.

Jorannya melentur hampir separuh bulatan, menandakan tentangan kuat dari dalam air. Tali pancing pula meluncur laju, membuatkan kami semua bersiap sedia untuk membantu. Saat ikan tersebut muncul ke permukaan ia terus melakukan lompatan, jelas bukan ikan tenggiri tetapi seekor ikan talang bersaiz kasar.

Triple strike tenggiri, tapi hanya Umar berjaya menaikkan ikan, yang lain putus di pertengahan jalan.

Dengan bantuan Umar, ikan tersebut berjaya digancu dan dinaikkan ke atas bot. Sorakan kegembiraan tidak dapat disembunyikan. Tangkapan pertama ini memberikan semangat yang luar biasa kepada kami semua.

Ia seolah-olah menjadi petanda bahawa hari itu akan menjadi hari yang bertuah.

Terlepas
Tidak lama selepas itu, jig Muiz sekali lagi disambar ikan. Kali ini, kami pasti ia adalah tenggiri berdasarkan larian dan corak tarikannya.

Namun begitu, nasib tidak menyebelahinya apabila ikan tersebut berjaya melepaskan diri ketika hendak digancu.

Walaupun sedikit kecewa, namun kami tidak berputus asa dan terus mencuba.

Kemuncak keseronokan berlaku apabila kami bertiga serentak menerima sambaran. Keadaan menjadi sedikit kelam-kabut apabila masing-masing cuba mengawal tali pancing agar tidak bersilang.

Dalam situasi begini, pengalaman dan ketenangan amat penting.

Nhasrullah dan Muiz terpaksa berputih mata apabila tali mereka putus di pertengahan pertarungan, hanya Umar sahaja yang berjaya menewaskan ikan menyambar jig dibeli di Shopee.

Sebelum pulang ke darat, kami mengambil peluang untuk meman­cing ikan kerisi menggunakan teknik hanyut umpan. Teknik ini lebih santai tetapi tetap memberikan hasil yang memuaskan.

Beberapa ekor ikan kerisi berjaya dinaikkan, cukup untuk dijadikan lauk dan selebihnya dikongsi bersama jiran tetangga. Amalan berkongsi hasil tangkapan ini menjadi tradisi kami setiap kali pulang dari laut.

Kami juga sempat singgah di unjam berdekatan darat untuk mencuba jigging ikan kerapu, sekadar untuk menambah hasil tangkapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN