PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyambut baik pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Kemudahan Bantuan Kestabilan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME SRF) berjumlah RM5 bilion.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah itu bertepatan dalam usaha membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terjejas akibat Krisis Bekalan Global susulan konflik Asia Barat yang berterusan.
Beliau berkata, perkara itu turut dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama Gabenor, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour di BNM, pagi tadi.
“Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan usaha memperluas sokongan pembiayaan kepada PMKS.
“Saya turut menekankan keperluan meningkatkan akses kredit dan pembiayaan yang lebih inklusif, khususnya bagi usahawan baharu dan peminjam kali pertama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Steven berkata, pertemuan itu juga menyentuh potensi pendekatan pembiayaan hibrid atau blended financing bagi menggabungkan kekuatan sektor kewangan dan pasaran modal negara untuk menyokong pertumbuhan PMKS.
“Dalam mendepani cabaran semasa, sokongan kepada PMKS memerlukan pendekatan all hands on deck melibatkan kerajaan, institusi kewangan, sektor perbankan dan seluruh ekosistem keusahawanan, selari dengan misi Kuskop ‘Hebatkan Perniagaan Malaysia’.
“Kuskop komited bukan sahaja untuk memastikan lebih banyak perniagaan tempatan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi global akibat konflik Asia Barat, malah merebut peluang untuk terus berkembang, meningkatkan produktiviti dan melonjak ke tahap seterusnya,” katanya.
Katanya, sehingga Mac 2026, pembiayaan kepada PMKS oleh institusi perbankan dan institusi kewangan pembangunan telah mencecah RM443.8 bilionmewakili hampir 51 peratus daripada jumlah pinjaman perniagaan, merupakan satu asas kukuh untuk diperkasa dengan sokongan lanjut. – KOSMO! ONLINE














