PETALING JAYA – Advokasi Perusahaan dan Industri (API) memakluman bahawa terdapatnya trend peningkatan jumlah perniagaan di seluruh Malaysia yang dikendalikan secara haram oleh warga asing yang pastinya ia akan memberi masalah kelihatan di jalanan dan deretan kedai di setiap bandar utama.
Pengarah Urusan API, Datuk Fazli Nordin berkata, lebih membimbangkan adalah ramainya warga asing ini menjalankan perniagaan tanpa lesen tetapi turut terlibat dalam perdagangan tidak sah, termasuk penjualan dan pengedaran rokok dan alkohol haram.
Menurut beliau, perkembangan ini amat jelas apabila melihat warga asing yang memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial atau pelancong, membuka perniagaan, dan dalam banyak kes menggunakan operasi tersebut sebagai cara untuk mengedarkan barangan seludup, khususnya rokok dan alkohol haram.
“Warga asing mengambil kesempatan terhadap kelompongan dalam sistem. Mereka membuka kedai, beroperasi secara terbuka, dan tidak lama kemudian terlibat dalam perdagangan tidak sah kerana sama ada mereka tidak mengetahui akibatnya atau tidak mempedulikannya. Ini telah menjadi masalah di seluruh negara, dan keadaannya semakin buruk,” katanya.
API menyatakan bahawa agensi penguatkuasaan undang-undang amat menyedari masalah ini dan kini sedang mempergiatkan tindakan secara agresif.
Pada bulan April sahaja, beberapa siri operasi penguatkuasaan telah menghantar isyarat jelas bahawa warga asing yang terlibat dalam perniagaan haram dan perdagangan barangan seludup kini berada dalam radar pihak berkuasa.
Pada 8 April, seramai 133 warga asing telah ditahan dalam serbuan di Balakong dan Shah Alam, termasuk 65 warga Bangladesh. Rokok dan alkohol seludup turut dirampas dalam operasi tersebut.
Pada 9 April, Jabatan Imigresen menahan 69 warga asing di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, yang kebanyakannya didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Beberapa individu cuba melarikan diri melalui bumbung bangunan tetapi berjaya ditahan.
Selain itu, DBKL telah memperhebatkan penguatkuasaan terhadap peniaga warga asing tanpa lesen yang beroperasi di Seputeh, Pudu dan Selayang dengan mengeluarkan notis kompaun serta merampas barangan daripada pengendali tanpa lesen.
Momentum penguatkuasaan ini turut diperkukuhkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang memberi amaran bahawa warga asing yang menggunakan pas sosial, pelancong atau pelawat yang terlibat dalam aktiviti perniagaan akan dikenakan tindakan.
API menegaskan bahawa sebahagian besar warga asing di Malaysia berada di sini secara sah dan menyumbang secara produktif kepada ekonomi.
Kebimbangan persatuan ini tertumpu khusus kepada individu yang direkrut, sering kali melalui dakwaan palsu, atau yang terlibat secara aktif dalam rangkaian pengedaran rokok tidak sah.
“Kami menggesa agensi penguatkuasaan untuk mengekalkan pendekatan ini secara berterusan dan berkala, bukan sekadar operasi sekali sahaja. Kami juga melihat trend di mana rokok tidak sah semakin dijual secara terbuka di premis-premis ini.” -KOSMO!ONLNE














