fbpx
Gambar hiasan.

Geng pemungut hutang agresif tumpas, 4 diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Satu kumpulan pemberi pinjaman wang tanpa lesen (along) yang bertindak sebagai pemungut hutang secara agresif berjaya ditumpaskan polis menerusi Op Cantas di sekitar Desa Bukit Tiara, Cheras, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras itu membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan berusia antara 19 hingga 26 tahun.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan laporan seorang kontraktor yang mendakwa kediamannya menjadi sasaran gangguan apabila dinding rumah serta kawasan sekitar ditampal pelekat berunsur fitnah selain menerima ugutan jenayah melalui panggilan telefon.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Axia, lima telefon bimbit, pembesar suara serta dua helai vest bertulis ‘debt collector’ yang digunakan untuk tujuan intimidasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kumpulan tersebut aktif melakukan kegiatan kacau ganggu di 18 lokasi berbeza di sekitar Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur, Puchong, Petaling Jaya dan Rawang.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Kesemua suspek direman selama tiga hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis semalam. Kertas siasatan kini sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN